Bekalan air ketum disyaki untuk nelayan dirampas

Iklan
Antara bekalan air ketum yang dirampasa dalam serbuan di pelabuhan Tok Bali Pasir Puteh pada Selasa.

PASIR PUTEH – Kegiatan membekalkan air ketum kepada nelayan dan awak-awak kapal di pelabuhan Tok Bali di sini terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 105 liter minuman itu dalam serbuan pada Selasa.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dua lelaki berusia 23 dan 45 tahun turut ditahan dalam operasi yang dijalankan anggota Risik Batalion 8 PGA dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, serbuan dilakukan kira-kira jam 2.30 petang di hadapan bangunan sebuah pelabuhan di sini hasil risikan dan pemantauan pihaknya.

"Anggota bertindak menyerbu sebuah Perodua Viva yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Iklan

"Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Ujar beliau, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang diubah suai itu menemukan 70 bungkusan air ketum dengan jumlah isipadu 105 liter dipercayai untuk dipasarkan kepada nelayan dan awak-awak kapal yang berlabuh di pelabuhan berkenaan.

Iklan

Menurutnya, pihak polis turut merampas wang tunai RM800, sebuah kereta, beg duit dan beberapa barangan lain dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM14,300.

Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam aktiviti penjualan air ketum sejak kira-kira setahun lalu.

"Suspek berusia 23 tahun dipercayai mendapatkan bekalan air ketum pada harga RM6 setiap bungkusan daripada seorang pembekal tempatan sebelum menjualnya semula kepada pelanggan di kawasan pelabuhan.

"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek berusia 45 tahun positif methamphetamine manakala seorang lagi negatif dadah," katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala seorang daripada suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.