'Negara boleh musnah apabila orang pandai hilang integriti'

Iklan
Program Wayang Rasuah: Bila Bayang Menjadi Gelap di Dewan Kecemerlangan 2 (DK2) yang disertai pelajar UniMAP pada Selasa. - FOTO: UNIMAP

PAUH PUTRA – Sesebuah negara boleh musnah apabila golongan bijak dan berpendidikan kehilangan integriti, kata Timbalan Pengarah Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis, Hairul Hafiz Bohari.

Menurutnya, kejayaan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada kecerdikan rakyat atau kemajuan teknologi, malah turut ditentukan oleh tahap integriti yang dimiliki setiap individu.

Iklan
Iklan

“Negara tidak akan musnah kerana kekurangan orang pandai. Negara tidak akan musnah kerana kekurangan teknologi. Negara tidak akan musnah kerana kekurangan graduan. Tetapi negara boleh musnah apabila orang yang pandai kehilangan integriti.

"Sebab itulah integriti perlu dipupuk ketika masih bergelar mahasiswa kerana mereka merupakan bakal pemimpin, penjawat awam dan peneraju organisasi pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Program Wayang Rasuah: Bila Bayang Menjadi Gelap di Dewan Kecemerlangan 2 (DK2), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, pembentukan sahsiah dan pegangan integriti yang kukuh dalam kalangan mahasiswa amat penting bagi memastikan negara dipimpin oleh generasi yang bertanggungjawab dan bebas daripada gejala rasuah.

Persembahan Wayang Kulit Antirasuah bertajuk Wayang Rasuah: Bila Bayang Menjadi Gelap oleh Kumpulan Wayang Kulit Warisan Enam Saudara. - FOTO: UNIMAP

Iklan

Program tersebut adalah anjuran bersama Unit Integriti, Pejabat Penasihat Undang-Undang dan Integriti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP dengan kerjasama SPRM.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah selain memperkukuh penghayatan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam kalangan mahasiswa serta warga universiti.

Program berkenaan turut menampilkan persembahan Wayang Kulit Antirasuah bertajuk Wayang Rasuah: Bila Bayang Menjadi Gelap oleh Kumpulan Wayang Kulit Warisan Enam Saudara yang menyampaikan mesej pencegahan rasuah melalui pendekatan seni dan budaya tradisional.

Selain itu, peserta turut mengikuti taklimat integriti yang disampaikan Penguasa Kanan SPRM Perlis, Mohd Faiq Hussin mengenai konsep Keep Malaysia Clean (KMC), iaitu inisiatif nasional yang diperkenalkan bagi membudayakan integriti dan menolak rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Mohd Faiq berkata, inisiatif tersebut membawa aspirasi untuk membina sebuah negara yang bersih daripada rasuah berteraskan nilai integriti, nilai murni dan tanggungjawab bersama.

Turut hadir Ketua Unit Integriti Pejabat Undang-Undang dan Integriti UniMAP, Ruzalina Ibnu Ruslan serta Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniMAP, Ts Dr Muhammad Hafiz Ab Aziz.