KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang baru diterima menyertai Perikatan Nasional (PN) turut mengemukakan senarai calon untuk mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dua parti berkenaan menyatakan cadangan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan proses rundingan kini melibatkan penelitian senarai calon serta tuntutan daripada semua parti komponen.
"Kita kemuka list (senarai) masing-masinglah. Depa (mereka) pun ada kemuka list, kita rundinglah.
"Dia (dua parti baharu) bagi list kerusi yang dia orang teringin, jadi kita runding.
Mengulas lanjut bantahan Bersatu mengenai cadangan PN menerima PCM sebagai anggota gabungan itu, Muhamad Sanusi menjelaskan, perkara tersebut tidak dibangkitkan dalam mesyuarat pada Selasa.
"Yang itu saya tiada locus standi untuk jawab, sebab tidak diperuntukkan dalam mesyuarat. Tak kan saya nak jawab pula, terserah pada pandangan dia.
"Yang semalam saya tidak mahu jawab, sudah settle (selesai). Hari ini rundingan pembahagian kerusi (melibatkan) empat parti komponen.
"Berjalan dengan lancar Alhamdulillah dan akan disambung (perbincangan) esok," ujarnya.
Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantahan itu dibuat atas dasar PN ketika ini masih berdepan isu antara parti anggota selepas Pas memutuskan hubungan dengan parti itu.
Beliau turut mendakwa permohonan PCM untuk menyertai PN tidak teratur selepas semakan mendapati terdapat isu berkaitan jawatan kepimpinan dan penggunaan nama parti.