JASIN - Dua lelaki cedera parah selepas terlibat dalam insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan yang dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu di Jalan Gapam, Bemban pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, kejadian jam 12.10 tengah malam itu berlaku di tepi jalan berhampiran sebuah perhentian bas.
Menurutnya, mangsa berusia 21 tahun mengalami kecederaan serius termasuk bengkak di kepala, pendarahan dalam otak, patah tengkuk, retak tengkorak serta luka pada telinga kiri.
“Seorang lagi mangsa berusia 28 tahun turut mengalami pendarahan dalam otak, patah pergelangan tangan kiri dan kaki kiri, tulang siku beralih serta lebam pada lengan kiri.
“Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Melaka dan dilaporkan masih tidak sedarkan diri akibat kecederaan yang dialami,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan itu dengan cara memukul dan menggunakan senjata dipercayai sebatang kayu.
Katanya, kejadian dipercayai bermula apabila seorang remaja berusia 19 tahun didatangi beberapa lelaki meminta agar memulangkan beg duit milik seorang wanita sebelum berlaku pertengkaran.
“Seorang daripada mereka kemudian menampar remaja lelaki itu sebelum abangnya datang membantu sehingga tercetus pergaduhan antara kedua-dua kumpulan.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian berjaya merakam kelibat beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, enam lelaki dipercayai terlibat dan usaha mengesan serta menangkap semua suspek sedang giat dijalankan.
Katannya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.