SINGAPURA - Penjawat awam Singapura bakal menerima bonus pertengahan tahun sebanyak 0.45 bulan, manakala pegawai gred rendah akan mendapat bayaran tambahan sekali sehingga S$400 (RM1,278), menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) negara itu.
Jabatan tersebut memaklumkan di bawah pembayaran Komponen Pembolehubah Tahunan (AVC) pertengahan tahun, penjawat awam dalam gred bersamaan MX13(I) dan MX14 akan menerima bayaran tambahan sekali sebanyak S$250 (RM798).
Sementara itu, mereka yang berada dalam gred bersamaan dengan MX15 dan MX16, serta dalam Skim Sokongan Operasi (OSS), akan menerima bayaran sekali lebih tinggi sebanyak S$400.
"Pembayaran pertengahan tahun ini mengambil kira prestasi ekonomi Singapura pada suku pertama 2026, dan risiko negatif terhadap prospek ekonomi Singapura kekal ketara," menurut kenyataan jabatan pada Selasa.
Pembayaran itu dibuat berdasarkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 2.0 peratus hingga 4.0 peratus untuk 2026, walaupun terdapat risiko penurunan yang ketara susulan konflik di Asia Barat.
"Kerajaan dan kesatuan sekerja akan terus bersama-sama memantau keadaan ekonomi dengan teliti dan mengambil kira garis panduan Majlis Gaji Negara yang akan dikeluarkan pada akhir tahun dalam menentukan pembayaran AVC akhir tahun," tambahnya. - Bernama