Inokom perkukuh keupayaan pemasangan automotif Malaysia

Iklan
Inokom adalah salah satu kilang pemasangan automotif terbesar di Malaysia dengan pengeluaran untuk enam jenama automotif antarabangsa dari kemudahan operasinya seluas 200 ekar di Kulim, Kedah yang disokong sepenuhnya 100 peratus pekerja tempatan.

SELAMA hampir tiga dekad, Inokom Corporation Sdn Bhd (Inokom) melangkah maju sebagai syarikat pemasangan automotif kontrak terkemuka di Malaysia dan diyakini jenama automotif global berikutan tahap piawaian tinggi dan konsisten.

Dengan kemudahan operasi seluas 200 ekar di Kulim, Kedah yang terletak di dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Inokom merupakan tunggak penting perniagaan Automotif bagi Sime Darby Berhad (Sime).

Iklan
Iklan

Inokom mengeluarkan kenderaan untuk tujuh jenama automotif global meliputi ekosistem automotif utama termasuk dari Jerman (BMW, MINI dan Porsche), Jepun (Mazda), Korea (Hyundai) serta China (Chery).

Operasi ini menyokong pasaran domestik serta pasaran terpilih di rantau ASEAN.

Iklan

Sementara itu, kemudahan bersepadunya termasuk Fasiliti Kimpalan Badan Kenderaan (Body Shops), Fasiliti Cat (Paint Shops), Fasiliti Pemasangan (Assembly Shops) dan Gudang Pusat (Centralised Warehouses), setakat ini disokong seramai lebih 2,700 kakitangan mahir yang terdiri dari 100 peratus warga Malaysia.

Jumlah pengeluaran juga meningkat dengan ketara daripada 20,500 unit pada 2021 kepada lebih 31,800 unit pada 2025.

Iklan

Sepanjang tempoh ini, Inokom telah mengeksport lebih 24,500 unit ke pasaran serantau, sekali gus menempa nama sebagai salah satu pengeksport automotif terbesar di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, Inokom membuktikan keupayaan yang boleh dicapai oleh industri Malaysia.

“Ini memang sejajar dengan kekuatan perindustrian dalam negara bernilai tinggi yang ingin dipupuk dan dilestarikan menerusi agenda GEAR-uP negara, khususnya sektor pembuatan bernilai tinggi yang dibina berasaskan kepakaran dan keupayaan Malaysia yang berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kewibawaan Inokom sebagai rakan pemasangan diyakini bagi jenama automotif global sudah terbukti, antaranya menerusi kerjasama antara Hyundai dan Inokom yang bermula seawal 1993.

Pada 2000, kemudahan ini diperluas kepada pemasangan kenderaan komersial dan penumpang bermula dengan Inokom Lorimas (Hyundai Porter), dan disusuli oleh Inokom Atos pada 2002.

Selain itu, Mazda salah satu daripada rakan pemasangan Inokom yang paling lama serta syarikat usaha sama yang penting, telah melancarkan Mazda 3 yang dipasang dalam negara pada 2012, menjadikannya satu-satunya kilang pemasangan bagi kenderaan yang dipasang sepenuhnya di rantau ASEAN pada ketika itu. Pelancaran ini telah menjadi tunggak operasi kemudahan tersebut.

Pada 2021, Porsche pula memilih Inokom sebagai kemudahan pemasangan pertamanya di luar Eropah, perkembangan yang mencerminkan keyakinan terhadap piawaian pembuatan Malaysia. Pemasangan dalam negara seterusnya diperluas pada 2024 untuk meliputi eksport ke Thailand.

Kemunculan Chery pada 2023 sebagai rakan pemasangan terus meluaskan portfolio Inokom, menjadikannya tapak pengeluaran bagi model-model seperti siri Omoda dan Tiggo, termasuk Chery Omoda E5, kenderaan elektrik (EV) pertama yang dipasang Inokom.

Ini merupakan langkah penting sambil pengeluar automotif China ini meluaskan jejaknya di Asia Tenggara menerusi kenderaan enjin pembakaran dalaman dan juga elektrik.

Inokom turut menempatkan Kilang Pemasangan Enjin BMW Group, yang membekalkan enjin secara terus kepada fasiliti pemasangan kenderaan premium tersebut. Fasiliti pemasangan ini ditubuhkan hasil kerjasama bersama Sime pada tahun 2003 dan mula beroperasi di Inokom sejak 2009.

Kini, kilang tersebut merupakan kilang pemasangan enjin BMW ketiga terbesar di dunia sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Inokom sebagai hab pembuatan bernilai tinggi di rantau ini.

Sejak tahun 2018, BMW Group telah mengeksport lebih daripada 11,800 unit kenderaan BMW dan MINI yang dipasang di Inokom ke pasaran Filipina dan Thailand.

Menambah kepada pencapaian ini, pengeluar kenderaan premium berkenaan meraikan pengeluaran kenderaan ke-100,000 yang dihasilkan di Inokom pada tahun 2022.

Terbaharu pada tahun 2026, BMW i5 eDrive40 M Sport yang dipasang di Inokom mencipta sejarah sebagai model BMW elektrik sepenuhnya pertama yang dipasang di rantau Asia Pasifik.

Beroperasi di bawah konsep Kilang dalam Kilang (Plant-within-a-Plant), Inokom mempunyai barisan pengeluaran terkhusus yang disesuaikan mengikut keperluan teknikal dan kualiti tertentu bagi setiap prinsipal untuk sistem kualiti yang tersesuai.

Kemudahan ini juga mempunyai persijilan diiktiraf antarabangsa dalam kualiti, keselamatan dan pengurusan alam sekitar dan telah menerima pengiktirafan industri termasuk Anugerah Kecemerlangan Industri daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 2018, anugerah Perusahaan Produktiviti Tinggi Menggunakan Pekerja Tempatan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia pada 2019 dan Anugerah Penghargaan Negeri Kedah pada 2026.

Selain daripada kilang pemasangan, Inokom memainkan peranan aktif menyokong rantaian bekalan automotif Malaysia.

Ini membolehkan 370 vendor tempatan termasuk perusahaan bumiputera untuk menyertai rantaian bekalan globalnya, lantas menyokong agenda GEARuP Kerajaan untuk mencapai pertumbuhan terangkum.

Komitmennya kepada pembangunan tenaga kerja termasuk mengadakan program latihan komprehensif yang meliputi teknologi pembuatan automotif, pembangunan kepimpinan dan peningkatan kemahiran dalam sistem elektrik, diagnostik serta pematuhan kualiti.

Jeffri menambah, persekitaran automotif semakin pantas berubah dengan teknologi baharu, pasaran baru muncul dan jangkaan yang kian berubah.

“Kami bertekad untuk memastikan Inokom kekal di hadapan dengan terus melabur dalam kakitangan kami, menaik taraf piawaian dan meluaskan keupayaan.

“Sebagai peneraju industri di NCER, Inokom juga terus membuka peluang bermakna daripada membangunkan kemahiran bernilai tinggi kepada menyokong perniagaan tempatan dan menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara secara lebih luas,” katanya.

Meninjau ke hadapan, Inokom memberi tumpuan kepada wawasannya untuk menjadi rakan automotif pilihan utama di rantau ASEAN manakala pelancaran kemudahan cat serba maju yang baharu dijangka mengukuhkan lagi kapasiti operasi sambil Inokom terus meningkatkan lagi keupayaan pengilangan Malaysia di peringkat global.