KAJANG – Sebuah lori membawa muatan cat dan sebuah pondok tol musnah dalam kebakaran di Plaza Tol Sungai Ramal menghala ke Jalan Reko di sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.55 petang.
Iklan
Iklan
"Seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh tujuh kilometer bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati kebakaran melibatkan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan cat. Bahagian hadapan lori terbakar dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus.
“Turut terjejas ialah sebuah pondok tol yang musnah kira-kira 90 peratus. Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.40 petang.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.