IPOH - Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak kembali dengan tawaran pakej lebih menarik di Pusat Konvensyen Ipoh pada 1 dan 2 Ogos depan.
Penganjuran edisi ke-37 itu menjangkakan kehadiran lebih 25,000 pengunjung dengan nilai jualan sekitar RM22 juta, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan terhadap sektor pelancongan,
Pengerusi MATTA Fair Perak, Wendy Shin berkata, pameran pelancongan itu kekal sebagai platform pilihan pengguna untuk meneroka pelbagai tawaran pelancongan, termasuk pakej percutian menarik dan promosi eksklusif daripada pemain industri.
"Edisi kali ini dijangka mencatatkan permintaan tinggi terhadap destinasi Asia sejajar dengan kecenderungan rakyat Malaysia memilih percutian yang mudah diakses dan berbaloi.
"Pengunjung boleh menantikan tawaran istimewa sepanjang pameran ke destinasi popular seperti Jepun, Korea Selatan, China, Taiwan, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Hong Kong," atanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
Beliau berkata, penganjuran kali ini menjadi antara yang terbesar setakat ini dengan penyertaan lebih 160 reruai serta lebih 40 organisasi pelancongan dari dalam dan luar negara.
Katanya, dalam usaha menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, Zon Pelancongan Domestik akan diperkenalkan buat julung kalinya.
“Inisiatif ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia meneroka keunikan pelancongan tempatan serta memperkenalkan produk dan destinasi dalam negara,” katanya.
Tambahnya, pengunjung turut ditawarkan pelbagai pilihan percutian termasuk domestik, antarabangsa, pakej kapal persiaran serta pakej tersuai.
“Kami juga melihat peningkatan minat terhadap percutian kapal persiaran dengan lebih banyak pengendali menawarkan pelayaran dari pelabuhan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, MATTA Fair Perak turut menjalin kerjasama dengan RHB Bank sebagai rakan bank rasmi dan Malaysia Aviation Group sebagai rakan syarikat penerbangan rasmi.
Menurutnya, pertandingan MATTA Fair Buyers’ Contest turut kembali dengan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung yang berbelanja minimum RM100.
Majlis perasmian dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini jam 11 pagi dan akan disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee.
Kemasukan ke pameran adalah percuma dan ia dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 9 malam sepanjang penganjuran.