IPOH - Seorang wanita dilaporkan hilang sejak 16 Jun lalu selepas keluar rumah untuk menghadiri temu duga kerja sebelum gagal dikesan sehingga kini.
Mangsa, Norafiza Zainuddin, 41, kali terakhir dilihat keluar dari rumah keluarganya di Taiping dengan memaklumkan mahu menghadiri sesi temu duga di sebuah hotel di Kuala Kangsar.
Adiknya, Ahmad Zulhilmi, 34, berkata, kehilangan kakaknya itu disedari selepas mangsa tidak pulang ke rumah sehingga lewat malam pada hari sama.
Menurutnya, usaha menghubungi mangsa juga gagal apabila telefon bimbit wanita itu didapati telah ditutup.
“Kami cuba hubungi banyak kali tetapi tidak berjaya. Sampai sekarang memang tiada khabar berita,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, laporan polis pertama dibuat di Balai Polis Kamunting pada 18 Jun sebelum satu lagi laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi mendapatkan tindakan lanjut.
Menurutnya, keluarga tidak menemui sebarang petunjuk sehinggalah kenderaan mangsa ditemui pada Ahad lepas.
Zulhilmi berkata, pemeriksaan mendapati kenderaan itu masih berada dalam keadaan baik dengan kunci serta barangan peribadi di dalamnya, namun mangsa tiada di lokasi.
Tambahnya, keluarga turut menyemak lokasi temu duga yang dimaklumkan mangsa, namun dimaklumkan tiada sesi temu duga diadakan pada tarikh berkenaan.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan ibu kepada dua anak perempuan itu baru sahaja bercerai awal tahun ini dan sebelum ini tinggal bersama keluarga di Taiping.
“Kami sekeluarga buntu dan tidak tahu di mana lagi hendak mencari," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu dengan menghubungi balai polis berhampiran atau keluarga mangsa di talian 0195777782.