AYER KEROH - Seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan menyalahgunakan wang persatuan dan menipu beberapa individu bagi mendapatkan sumbangan yang kemudiannya digunakan untuk kepentingan peribadi.
Tertuduh, Puhnitha Devi Durairaju, 43, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang berjumlah RM56,000 milik Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Negeri Melaka yang sepatutnya digunakan bagi pelaksanaan program Hi-Tea bersama PTD dan Program Ramadan pada tahun 2022.
Bagi satu lagi pertuduhan di bawah seksyen sama, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang sumbangan Duit Raya berjumlah RM600 milik 30 petugas Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Tahun 2024 untuk kegunaan peribadi.
Sementara itu, bagi empat pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa memperdayakan beberapa individu untuk menyerahkan wang sumbangan berjumlah RM3,900 bagi penganjuran Hari Keluarga dan Sasaran Kerja Tahunan Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) pada tahun 2024.
Bagaimanapun, program yang dimaksudkan tidak dilaksanakan dan wang sumbangan tersebut didakwa digunakan untuk kegunaan peribadi tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari, manakala tertuduh diwakili peguam Intan Nur Alia Nodzri daripada Tetuan The Chambers of Kamarul Hisham & Hasnal Rezua.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Ogos depan.