Transisi ekonomi moden fokus baharu Pahang

Iklan
“Ada satu syarikat lagi berhasil menemukan kaedah mempercepat proses fotosintesis. Syarikat-syarikat beginilah yang sama ada menjadi pemangkin ekonomi industri sedia ada ataupun tidak mustahil wujudkan industri baharu.ˮ- Mohamad Nizar

"Ada satu syarikat lagi berhasil menemukan kaedah mempercepat proses fotosintesis. Syarikat-syarikat beginilah yang sama ada menjadi pemangkin ekonomi industri sedia ada ataupun tidak mustahil wujudkan industri baharu.ˮ- Mohamad Nizar

SHAH ALAM - Seiring perkembangan semasa, Kerajaan Negeri Pahang memasang tekad memfokuskan perihal transisi ekonomi daripada tradisional kepada moden dalam usaha menjana pendapatan lebih hebat di negeri itu.

Iklan
Iklan

Tumpuan kini diperluaskan kepada projek mega Carbon Capture & Storage (CCS) Southern Hub di Kuantan Port, jaringan pembangunan di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pemerkasaan program syarikat pemula, cadangan pembinaan tapak pelancar roket di Pekan, pembukaan kilang baharu di Kuala Lipis serta Gebeng dan sebagainya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, perkara sedemikian wajar diambil perhatian serius atas dasar keperluan mempelbagaikan ekonomi, tetapi dalam masa sama tidak meminggirkan industri sedia ada.

Iklan

“Bagi saya, kerajaan negeri masih mengekalkan ekonomi tradisional seperti sektor perlombongan, pertanian, kelapa sawit dan lain-lain.

Bagaimanapun, apabila ingin melangkah ke hadapan, tak bolehlah bergantung harap kepada industri begitu semata-mata.

Iklan

“Ini kerana sampai satu tahap, kerajaan negeri perlu mempelbagaikan ekonomi. Don’t put all your eggs in one basket kerana kalau sektor tradisional bermasalah, kerajaan negeri pun sama. “Jadi, perancangan dalam konteks kepelbagaian atau diversiti ekonomi mesti ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Podcast Sinar Harian yang bertajuk PAHANG 1st: Memacu Ekonomi Pahang dan dihoskan oleh Haizir Othman di Kompleks Karangkraf, di sini.

Mohamad Nizar (kanan) dalam program Podcast Sinar Harian yang dihoskan oleh Haizir di Kompleks Karangkraf, di sini.

Dalam pada itu, mengambil contoh berkenaan syarikat pemula, kata Mohamad Nizar, jenama start-up berteraskan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang melalui program Pahang Innovative Start-Up Accelerator (PISA) kini dianggarkan bernilai RM5 juta.

“Ada satu syarikat lagi berhasil menemukan kaedah mempercepat proses fotosintesis. Syarikat-syarikat beginilah yang sama ada menjadi pemangkin ekonomi industri sedia ada ataupun tidak mustahil wujudkan industri baharu,” kata Mohamad Nizar.

Menyentuh soal peluang pekerjaan untuk anak Pahang di mana kebanyakannya berhijrah ke Kuala Lumpur atas faktor gaji lebih lumayan, anak sulung bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohamad Najib Tun Razak itu memiliki pendapat yang cukup realistik.

Kata beliau, sudah tentu Kerajaan Negeri Pahang mengharapkan ramai golongan muda di negeri itu kekal menabur bakti di tempat sendiri. Memandangkan Pahang telah merangka Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30) dengan sasaran ekonomi RM100 bilion, ujarnya, sudah tentu tenaga kerja mahir yang begitu ramai diperlukan.

Tambah beliau, apabila pelabur domestik dan asing datang melabur, perkara yang bakal ditanya selain kemudahan infrastruktur adalah sama ada kerajaan negeri memiliki tenaga kerja mahir mencukupi atau sebaliknya untuk memenuhi permintaan industri.

“Jadi, di peringkat Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang sedang merangka strategi untuk melihat bagaimana dan berapa ramai lagi pelajar ingin menceburi bidang STEM supaya mereka menjadi graduan di universiti teknikal, bergelar pakar seterusnya menyumbang ke arah kemajuan negeri. Itu pelan jangka masa panjang.

“Senario jangka pendek pula, kerajaan negeri berusaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Pahang sebagai contoh untuk pembangunan laluan ECRL yang bakal beroperasi Januari 2027, Pahang Skills Development Centre (PSDC) dan Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) mewujudkan kursus menjadi tenaga mahir teknikal.

“Selain itu, sebagai pengurus dan pegawai stesen ECRL supaya anak tempatan sendiri yang mengendalikan stesen laluan ECRL. Untuk tujuan ini, PSDC dan UCYP menghantar anak-anak Pahang ke China supaya mereka dapat menguasai modul pentadbiran industri kereta api,” jelasnya lagi.

Legasi politik

Sementara itu, ketika ditanya mengenai karier peribadi, beliau mengakui sering dibayangi imej dan gaya kepimpinan bapa serta datuknya, Tun Abdul Razak dalam arena politik sehinggakan rakyat menaruh harapan tinggi terhadapnya.

Bagaimanapun, Mohamad Nizar secara peribadi tidak menganggap perkara tersebut sebagai cabaran besar meskipun pepatah ada menyebut ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’.

Beliau berpendapat, masing-masing lahir pada zaman yang berbeza sekali gus mempengaruhi keperibadian, cabaran, pengalaman hidup serta cara mereka melihat sesuatu perkara.

“Sebagai contoh, ayahanda saya menyertai politik pada usia yang terlalu muda iaitu 23 tahun dan merupakan satu rekod ketika itu. Bagi saya, ia bukan atas kehendak peribadi beliau kerana waktu itu Allahyarham datuk (Tun Abdul Razak) kembali ke rahmatullah tanpa diduga.

“Jadi, ayahanda saya perlu membuat pilihan sama ada masuk politik ataupun tidak. Beliau memilih untuk mengabdikan diri kepada kerjaya mentadbir kerajaan dan kerjaya politik.

“Beliau memang cukup berpengalaman apabila menjadi Ahli Parlimen selama 46 tahun.

Berbeza dengan saya yang sekurang-kurangnya dapat ruang dan peluang untuk bekerja dengan sektor swasta dahulu sebelum menceburi dunia politik secara serius pada usia 40 tahun,” ujarnya.

Namun kini bagi Mohamad Nizar, matlamatnya cuma satu iaitu membantu UMNO yang pertama kalinya memegang tampuk pembangkang untuk bangkit semula selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.