Sami menang RM1 juta hasil simpan wang sedekah, 'angpau'

Iklan
Mohd Hairul (kiri) dan Aizurra menyampaikan replika cek kepada Chai Siang di Cawangan Utama BSN Pulau Pinang di Jalan Macalister pada Selasa.

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Seorang sami sebuah tokong di Air Itam bergelar jutawan selepas memenangi wang tunai RM1 juta menerusi menerusi kempen BSN SSP kategori Cabutan Jutawan.

Menurut Chan Chai Siang, kejayaan itu hasil simpanan yang sebahagian besarnya datang daripada wang sedekah dan 'angpau' diterimanya.

Iklan
Iklan

Chai Siang berusia 73 tahun yang berasal dari Butterworth itu menjadi individu ke-124 memenangi hadiah utama program berkenaan dan pemenang kedua dari Pulau Pinang selepas seorang guru Sejarah yang memenangi cabutan bagi bulan April.

Warga emas itu mempunyai lapan beradik namun hanya tiga adik-beradiknya masih hidup.

Iklan

Bekas pekerja kilang yang pernah bekerja di Singapura dan Pulau Pinang sebagai penyelia itu berkata, dia mula menyimpan dalam BSN SSP pada Januari 2025 selepas mendapat cadangan daripada seorang rakannya.

“Wang yang saya simpan kebanyakannya hasil sedekah, 'angpau' dan sumbangan yang diterima daripada orang ramai. Sebahagian wang itu juga saya gunakan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Iklan

Chai Siang ditemui selepas menerima replika cek hadiah tersebut di Cawangan Utama BSN Pulau Pinang di Jalan Macalister yang disampaikan Pengarah BSN Pulau Pinang, Mohd Hairul Izam Abu Bakar dan Ketua Jabatan Komunikasi Strategik BSN, Aizurra Mellissa Muzammil.

Bercerita lanjut, Chai Siang berkata, dia tidak pernah menetapkan jumlah simpanan kerana bergantung kepada wang yang diterima namun simpanan yang dibuat lazimnya kira-kira RM1,000 hingga RM2,000 pada satu-satu masa.

Tambah Chai Siang lagi, pada mulanya dia tidak mempercayai berita kemenangan yang diterimanya menerusi panggilan telefon oleh pihak BSN.

“Saya menerima tiga kali panggilan tetapi hanya jawab sekali kerana menyangka ia panggilan scammer.

“Bila diberitahu saya menang RM1 juta, memang saya tak percaya dan rasa mustahil perkara itu boleh berlaku,” katanya.

Dia berkata, keyakinannya hanya timbul selepas wakil BSN datang menemuinya bagi mengesahkan kemenangan tersebut.

“Saya sangat terkejut. Memang tidak sangka boleh menang kerana tujuan saya hanya untuk menyimpan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai wang kemenangan itu, Chai Siang berkata, dia belum mempunyai perancangan khusus dan bercadang untuk terus menyimpannya di bank buat sementara waktu.

“Saya akan simpan dahulu dan gunakan apabila perlu. Jika ada yang memerlukan bantuan, saya akan bantu seperti biasa tetapi wang ini perlu digunakan dengan bijak,” katanya.