TAWAU – Selepas dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 165 tahun pada April lalu atas kesalahan merogol dua anak kandungnya, seorang guru tuisyen masih belum terlepas daripada pertuduhan lain apabila tujuh lagi kes membabitkan anak sulungnya masih belum diputuskan di Mahkamah Sesyen di sini.
Mahkamah bagaimanapun menangguhkan prosiding berkenaan selepas difahamkan laporan perubatan berkaitan mangsa masih belum diperoleh, sekali gus menyebabkan keputusan akhir belum dapat dibuat.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menetapkan 21 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.
Sebelum ini, semasa prosiding pada 6 Mei lalu, tertuduh yang berusia 53 tahun dan bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah pusat tuisyen di Lahad Datu mengaku bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan yang dikemukakan secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan terhadap anak sulungnya yang kini berusia 25 tahun di beberapa hotel di daerah tersebut dalam tempoh antara Disember tahun lalu hingga 19 Mac lalu.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhayl Aminin Sallehuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Untuk rekod, Mahkamah Sesyen Lahad Datu pada 8 April lalu telah menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 165 tahun terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak perempuannya yang masing-masing berusia 25 dan 22 tahun.
Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Suhailla Selag dengan setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 15 tahun yang diperintahkan berjalan secara berasingan, selain 10 sebatan bagi setiap kesalahan.