Mufti Kelantan tegur wanita bertudung promosi pakaian dalam dipakai sendiri

Iklan
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegur tindakan segelintir peniaga yang mempromosikan pakaian dalam dengan memakainya sendiri meskipun menutup aurat kerana ia boleh menimbulkan kontroversi dan tidak selari dengan etika akhlak Islam.

KOTA BHARU – Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegur tindakan segelintir peniaga yang mempromosikan pakaian dalam dengan memakainya sendiri meskipun menutup aurat, kerana ia boleh menimbulkan kontroversi dan tidak selari dengan etika akhlak Islam.

Beliau berkata, walaupun dari sudut aurat wanita terbabit dilihat mematuhi tuntutan syarak, pendekatan yang digunakan bagi mempromosikan produk berkenaan dianggap kurang sesuai kerana masih terdapat alternatif lain yang lebih baik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peniaga seharusnya mengutamakan kaedah promosi yang tidak menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat.

“Dari segi etika, perkara itu tidak begitu sesuai kerana masyarakat sudah sedia maklum mengenai fungsi pakaian tersebut.

Iklan

“Kalau mahu menunjukkan cara pemakaian sekali pun, masih ada pilihan lain seperti menggunakan replika atau patung peragaan,” katanya pada Selasa ketika diminta mengulas tindakan seorang wanita bertudung yang mempromosikan pakaian dalam menerusi media sosial.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan peniaga supaya sentiasa mematuhi etika dan akhlak Islam dalam menjalankan urusan perniagaan.

Iklan

“Kita pada setiap masa perlu patuh dan mengamalkan etika akhlak Islam dalam apa juga yang dilakukan,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa tindakan itu agak keterlaluan kerana masih terdapat banyak pilihan lain untuk menunjukkan cara pemakaian sesuatu produk.

Ujarnya, jika wanita terbabit menutup aurat, mungkin tidak timbul isu besar dari sudut hukum, namun dari sudut kesesuaian dan adab, ia bukan pilihan terbaik.

Mohamad Shukri berkata, sekiranya terdapat alternatif lain, maka kaedah tersebut perlu diberikan keutamaan bagi mengelakkan sebarang salah faham atau kontroversi.

“Kalau ada pilihan lain, saya nasihatkan supaya diberi keutamaan kepada kaedah yang tidak menimbulkan kontroversi dalam masyarakat,” katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 30 saat yang memaparkan seorang wanita berpakaian menutup aurat memperagakan cara pemakaian pakaian dalam di media sosial sehingga menimbulkan kecaman dalam kalangan warganet.

Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, pihaknya sudah menerima makluman berhubung perkara tersebut.

“Pihak JAHEAIK (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan) sedang menjalankan siasatan sebagaimana yang tular,” katanya ketika dihubungi.