NOSTALGIA bola sepak era 1990-an melibatkan pasukan Kedah dan Singapura bakal kembali apabila bekas pemain kedua-dua pasukan akan berentap dalam Piala Merdeka Nostalgia 1993 di Stadium Langkawi pada 29 Ogos depan.
Penaung Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBMK), Datuk Zuraidi Rahim berkata, kejohanan tersebut bukan sekadar perlawanan persahabatan, malah menjadi platform menghargai jasa bekas pemain yang pernah mewarnai antara era paling gemilang dalam sejarah bola sepak Malaysia dan Singapura.
Menurutnya, sambutan yang ditunjukkan oleh bekas pemain, penyokong dan pelbagai pihak amat menggalakkan sehingga dijangka menarik kehadiran ribuan peminat dari negara jiran.
“Pasukan Singapura juga sangat teruja dengan penganjuran ini. Kita dimaklumkan antara 2,000 hingga 3,000 penyokong mereka akan datang ke Langkawi.
“Saya juga telah berbincang dengan pengusaha perkhidmatan feri dan mereka bersedia memberikan kerjasama bagi menampung kebanjiran penyokong kedua-dua pasukan yang dijangka berlaku pada hari perlawanan,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Liga Kedah 2026 di sini pada malam Isnin.
Turut hadir bekas pemain Kedah iaitu Faridzuan Che Hamid, Feriza Ismail, Farouk Ismail, Khamal Idris dan Maizal Hairi.
Jelas Zuraidi, beberapa nama besar yang pernah mencipta kegemilangan bersama Kedah dan Singapura sedang diusahakan untuk menyertai perlawanan nostalgia itu.
Menurutnya, penganjuran kejohanan tersebut turut membawa misi lebih besar, iaitu menyemarakkan semula minat terhadap bola sepak Kedah dan memberi inspirasi kepada generasi muda.
“Kita mahu anak-anak muda melihat sendiri bagaimana Kedah suatu ketika dahulu merupakan kuasa besar bola sepak negara. Apabila disebut nama Kedah, ramai pasukan lawan berasa gerun.
“Kedah juga pernah menjadi kilang melahirkan bakat-bakat bola sepak yang hebat dan kita mahu semangat itu dikembalikan semula,” ujarnya.
Selain perlawanan utama, pelbagai program sampingan turut dirancang termasuk klinik bola sepak yang memberi peluang kepada bakat-bakat muda menimba pengalaman dan ilmu daripada pemain legenda yang terlibat.
Beliau berkata, beberapa siri mesyuarat bersama agensi dan badan kerajaan telah diadakan di Langkawi, manakala perbincangan dengan wakil legenda Singapura juga berjalan lancar.