BACHOK – Seramai 55 pelajar Maahaad Tahfiz Sains Al-Muhammadi (MTSM) Nipah di sini berjaya menawan tiga puncak utama di Gunung Stong dalam tempoh 11 jam setengah, selain melengkapkan bacaan khatam al-Quran 30 juzuk menerusi telefon pintar sepanjang program Kem Mukhayyam Tarbawi 2026 yang berlangsung selama tiga hari dua malam.
Program bermula 17 hingga 19 Jun lalu itu disertai pelajar tingkatan dua hingga lima bersama sembilan guru pengiring.
Penolong Kanan Kokurikulum MTSM, Mohd Aris Farizal Abdul Halim berkata, program tahunan anjuran sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan itu membawa tema #HANGAT (Hayati Alam Ingat Tuhan) dengan menggabungkan elemen tarbiah, kepimpinan, ketahanan diri dan penghayatan alam semula jadi.
Menurut beliau, Kem Baha yang terletak di atas kawasan air terjun Jelawang dipilih sebagai tapak perkhemahan utama memandangkan lokasinya yang sesuai untuk aktiviti pembangunan sahsiah pelajar.
"Air terjun Jelawang terkenal sebagai antara air terjun tertinggi di Asia dan menawarkan persekitaran yang sangat sesuai untuk program pendidikan luar bilik darjah seperti ini," katanya.
Beliau memberitahu, antara pengisian utama program ialah khatam al-Quran 30 juzuk yang dilaksanakan secara berkumpulan dengan setiap juzuk dibaca oleh dua pelajar.
Menurutnya, bacaan dilakukan menggunakan aplikasi al-Quran digital pada telefon pintar masing-masing selepas solat Maghrib.
"Pendekatan ini menunjukkan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk mendekatkan generasi muda dengan al-Quran dalam suasana yang lebih santai dan dekat dengan alam," katanya.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Marzuq Azmi, 17, berkata, warga MTSM berjaya menawan Puncak Baha, Puncak Ayam dan Puncak Stong dalam tempoh 11 jam setengah.
"Alhamdulillah, kami berjaya menawan tiga puncak dan pada masa sama dapat menikmati keindahan alam semula jadi serta menambah pengetahuan menerusi perkongsian para guider sepanjang pendakian," katanya.
Sementara itu, Pengetua MTSM, Muhamad Sharifuddin Noh berkata, pendekatan pembelajaran di luar bilik darjah seperti pendakian gunung penting dalam usaha melahirkan huffaz yang seimbang dari aspek spiritual, fizikal dan intelektual.
Beliau memberitahu, bagi menyokong usaha melahirkan generasi huffaz cemerlang, pihak sekolah turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai menerusi Tabung Kecemerlangan Ibnu Sina.
"Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, 03018010189064 atas nama Tabung Kecemerlangan Ibnu Sina," katanya.