GEORGE TOWN – Sepasang kekasih ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah susulan rampasan pelbagai jenis dadah termasuk dadah sintetik dikenali sebagai 'Piu Piu' bernilai RM9.7 juta dalam dua serbuan berasingan di Butterworth pada 19 Jun lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang antara jam 2.25 petang hingga 2.40 petang itu, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan bersama kekasihnya yang berusia 40 tahun.
Menurutnya, pasangan itu dipercayai menjadikan sebuah unit kondominium yang disewa sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
"Serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir sebuah kondominium di Butterworth yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta Perodua yang digunakan suspek, polis menemui dan merampas tiga peket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 220.69 gram.
“Bertindak atas maklumat dan pandu arah suspek, polis kemudian menyerbu sebuah unit kondominium yang disewa di kawasan sama sebelum menahan seorang wanita tempatan yang dipercayai kekasihnya,” pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Dennis Lim menambah, pemeriksaan di dalam bilik sebuah unit kondominium tersebut menemukan pelbagai jenis dadah yang disimpan dalam bakul, bekas dan peket plastik untuk tujuan pengedaran.
"Antara yang dirampas ialah lebih 62 kilogram serbuk disyaki MDMA, ketamin seberat 3,057.50 gram, 700 biji pil Erimin 5, 1,630 biji pil ekstasi serta 76 kartrij mengandungi cecair disyaki syabu.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM9.7 juta dan dipercayai mampu digunakan oleh 221,649 penagih jika ia terlepas ke pasaran," jelasnya.
Menurut beliau, hasil risikan mendapati sindiket ini aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Januari tahun ini.
"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah. Semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah terdahulu,” ujarnya.
Dennis Lim berkata, polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita wang tunai pelbagai nilai berjumlah RM2,300.
“Kita percaya masih terdapat saki-baki ahli sindiket yang belum ditahan dan usaha mengesan individu lain yang mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah itu sedang giat dijalankan.
“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan JSJN serta kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis," katanya.
Menurut beliau, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 20 Jun hingga 26 Jun bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika disabitkan kesalahan," katanya.