Malaysia ulangi pendirian terus beri tekanan terhadap Israel - Mohamad Hasan

Iklan
Mohamad Hasan - Foto: Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR – Malaysia mengulangi pendirian untuk terus memberi tekanan terhadap Israel di semua platform antarabangsa bagi menghentikan kekejaman di Palestin dalam usaha mencapai kedamaian di Asia Barat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, platform yang akan digunakan termasuklah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS.

Iklan
Iklan

Menurut Mohamad, beliau turut berhubung dengan bakal Presiden Perhimpunan Agung PBB, iaitu Khalilur Rahman yang juga rakan sejawatnya dari Bangladesh bagi memastikan semua pihak terus memberi tekanan kepada rejim Zionis tersebut di pentas antarabangsa.

“Jika boleh, undian kita di PBB nanti melebihi 140 negara. Jika itu kita dapat, ia adalah tekanan besar terhadap Israel untuk mereka menghentikan sebarang pencerobohan di Lubnan, kekejaman terhadap rakyat Palestin di Gaza dan pencerobohan terhadap wilayah Tebing Barat Palestin.

Iklan

“Itu yang kita mahu beri tekanan. Jadi, ini isu besar yang mana kita perlu memainkan peranan diplomasi tinggi terhadap badan dunia PBB dan Majlis Keselamatan PBB,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN – Tampin) berhubung pendirian Malaysia mengenai jaminan keselamatan pelayaran di Selat Hormuz serta langkah diplomatik yang diambil kerajaan bagi mengurangkan ketegangan dan mengekalkan keamanan di perairan strategik itu.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Malaysia juga antara negara terawal yang menyokong memorandum persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi meredakan ketegangan di Selat Hormuz yang telah berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

Ini kerana katanya, kestabilan di laluan maritim paling strategik di dunia itu bukan sahaja dapat memulihkan ekonomi global, tetapi juga memberi kesan kepada Malaysia secara keseluruhannya.

Namun katanya, Israel dilihat tidak senang dengan perkembangan positif itu dan cuba menggagalkan gencatan antara AS dan Iran tersebut.

“Ada pihak yang mahu menggagalkan rundingan damai termasuk di Lubnan dengan terus mengebom Lubnan. Apa isyaratnya? Isyaratnya mereka tidak mahu melihat keamanan wujud di rantau ini,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad mengajak masyarakat dunia untuk terus mengecam tindakan Israel bagi memastikan Asia Barat kembali stabil.