PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tidak akan sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti wujud sebarang salah laku, penyelewengan atau pelanggaran prosedur dalam urusan pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping, Perak ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
Menerusi kenyataan pada Selasa, Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pendirian itu diambil bagi memelihara integriti institusi serta nama baik negara di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, kementerian mengambil maklum mengenai siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu berkenaan.
"NRES menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang dalam setiap aspek pengurusan hidupan liar negara.
"Sehubungan dengan itu, NRES sedia memberikan kerjasama penuh dan menyeluruh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan ini berlangsung bagi memastikan proses siasatan dapat dilengkapkan secara menyeluruh dan telus," katanya.
Terdahulu SPRM memaklumkan satu kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat urusan pemindahan tiga gajah berkenaan yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
NRES, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan ejen, antara pihak yang diberikan tumpuan dalam siasatan berkenaan.
Ia susulan gesaan pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) agar SPRM melakukan siasatan selepas mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan pemindahan DAK yang tidak disalurkan kepada kerajaan selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi dianggarkan bernilai RM53 juta.