LIONEL Messi enggan terlalu dibuai kejayaan memecahkan rekod jaringan sepanjang zaman Piala Dunia apabila menyifatkan kemenangan Argentina dan kemaraan ke pusingan kalah mati lebih penting daripada pencapaian peribadinya.
Kapten Argentina itu meledak dua gol ketika juara bertahan berkenaan menewaskan Austria 2-0 dalam aksi Kumpulan J, sekali gus muncul penjaring terbanyak dalam sejarah kejohanan dengan 18 gol.
Bagaimanapun, Messi yang turut gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama lebih gembira melihat pasukannya mengesahkan tiket ke kelompok 32 pasukan terakhir selepas mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan.
"Ia kemenangan yang amat penting. Perlawanan yang sukar dan kami bekerja keras untuk mendapatkannya.
"Keputusan ini memberi ketenangan kepada kami bagi menghadapi cabaran seterusnya," katanya.
Pemain berusia 38 tahun itu mengakui Austria memberikan tentangan sengit, terutama selepas meningkatkan tempo permainan pada separuh masa kedua.
Menurut Messi, Argentina berjaya mengawal perlawanan dengan baik walaupun berdepan tekanan lawan yang cuba bangkit memburu gol penyamaan.
Messi terlebih dahulu memecahkan rekod jaringan Piala Dunia menerusi gol pembukaan pada minit ke-38 sebelum melengkapkan kemenangan Argentina dengan jaringan kedua pada masa kecederaan.
Beliau kini sudah mengumpul lima gol dalam dua perlawanan pada kempen Piala Dunia 2026 dan menjadi tonggak utama skuad bimbingan Lionel Scaloni dalam usaha mempertahankan kejuaraan.
Ketika ditanya mengenai pencapaian terbaharunya itu, Messi hanya memberikan jawapan ringkas.
"Saya sangat penat," katanya sambil tersenyum.
Argentina akan menamatkan saingan Kumpulan J menentang Jordan, manakala Austria perlu mengatasi Algeria untuk terus menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati.