KAPTEN Argentina, Lionel Messi sekali lagi mencipta sejarah di pentas Piala Dunia apabila memecahkan rekod penjaring terbanyak kejohanan itu sambil membantu juara bertahan tersebut menewaskan Austria 2-0 dalam aksi kedua Kumpulan J di Stadium Dallas, awal pagi Selasa.
Messi meledak kedua-dua gol Argentina pada minit ke-38 dan masa kecederaan untuk memastikan pasukannya mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas meraih dua kemenangan daripada dua perlawanan.
Jaringan pertama pemain berusia 39 tahun itu menyaksikannya mengatasi rekod legenda Jerman, Miroslav Klose, yang menjaringkan 16 gol di Piala Dunia.
Messi kini mengumpul 18 gol keseluruhan selepas menambah satu lagi jaringan pada penghujung perlawanan.
Namun, malam bersejarah itu hampir bermula dengan kekecewaan apabila Messi gagal menyempurnakan sepakan penalti seawal minit kesembilan.
Austria yang tampil dengan corak permainan tersusun berjaya mengekang serangan Argentina untuk tempoh tertentu, namun tekanan berterusan juara dunia itu akhirnya membuahkan hasil.
Gol pembukaan hadir pada minit ke-38 menerusi gerakan kemas yang dimulakan sendiri oleh Messi sebelum beliau menyudahkan hantaran lintang rendah Facundo Medina dari dalam kotak penalti.
Jaringan itu bukan sahaja memecahkan kebuntuan perlawanan, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia lelaki.
Austria cuba bangkit selepas ketinggalan, namun gagal menembusi benteng pertahanan Argentina yang diketuai penjaga gol Emiliano Martinez.
Pasukan bimbingan Ralf Rangnick beberapa kali mengancam menerusi bola mati dan hantaran lintang, tetapi tidak mampu menghasilkan penyudah yang berkesan.
Messi kemudian melengkapkan malam gemilangnya pada minit ke-95 apabila menyempurnakan peluang hasil situasi bola muntah untuk mengesahkan kemenangan 2-0 Argentina.
Kejayaan itu menyaksikan Argentina mengumpul enam mata maksimum dan mengesahkan kemaraan ke kelompok 32 pasukan terbaik kejohanan.
Bagi Austria pula, mereka kekal dengan tiga mata dan masih perlu berjuang dalam aksi terakhir kumpulan menentang Algeria bagi memburu tiket ke pusingan seterusnya.
Rekod terbaharu Messi melengkapkan perjalanan luar biasa yang bermula sejak penampilan sulungnya di Piala Dunia 2006.
Perlawanan menentang Austria merupakan penampilan ke-28 beliau di kejohanan berprestij itu, sekali gus menambah satu lagi pencapaian dalam karier antarabangsa yang penuh gemilang.
Messi sebelum ini menyamai rekod Klose selepas meledak hatrik ketika Argentina menewaskan Algeria 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan J.
Beliau kini turut mencatat jaringan dalam enam perlawanan Piala Dunia berturut-turut, menyamai pencapaian legenda Perancis, Just Fontaine, dan ikon Brazil, Jairzinho.
Setakat ini, kesemua lima gol Argentina di Piala Dunia 2026 hadir menerusi Messi, sekali gus membuktikan pengaruh besar kapten berkenaan dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Qatar empat tahun lalu.