Apabila rumah jadi neraka angkara bapa durjana

Iklan
Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun didakwa menjadi mangsa kerakusan bapa kandung sendiri sejak berusia enam tahun. Gambar hiasan

BARU dua hari lepas, ramai dalam kalangan kita menyambut Hari Bapa dengan penuh rasa syukur dan penghargaan.

Media sosial dipenuhi ucapan kasih sayang buat insan yang menjadi pelindung keluarga, mencari nafkah dan membesarkan anak-anak dengan penuh pengorbanan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pada Isnin penulis dikejutkan dengan satu berita yang benar-benar meruntun hati apabila seorang remaja perempuan berusia 15 tahun didakwa menjadi mangsa kerakusan bapa kandung sendiri sejak berusia enam tahun.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, perbuatan terkutuk lelaki itu yang tergamak menjadikan anak kandungnya sebagai tempat memuaskan nafsu akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis pada Sabtu.

Iklan

Mangsa mendakwa dalam kejadian terbaru pada 29 Mei lalu sekitar jam 12 tengah hari, dia bersama adik perempuannya sedang berada di rumah sebelum dipanggil bapanya masuk ke dalam bilik tidur.

​Zahril Asri berkata, suspek kemudiannya bertindak melakukan perbuatan seksual terhadap mangsa dalam bilik berkenaan.

Iklan

Lebih mengejutkan, siasatan awal mendapati perbuatan terkutuk itu dipercayai dilakukan suspek sejak mangsa berusia enam tahun lagi hingga menyebabkan remaja perempuan itu kini mengalami kemurungan dan trauma.

Sukar untuk digambarkan bagaimana seorang anak yang sepatutnya mendapat kasih sayang, perlindungan dan perhatian daripada seorang ayah terpaksa hidup dalam ketakutan selama bertahun-tahun.

Kes seperti ini sentiasa mengundang kemarahan dan kesedihan masyarakat kerana rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat buat seorang anak akhirnya bertukar menjadi lokasi paling menakutkan dalam hidup mereka.

Apa yang lebih menyedihkan, kes seumpama ini bukanlah yang pertama dilaporkan kerana beberapa kes turut dilaporkan media sebelum ini.

Sebagai contohnya, seorang lelaki dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara dan lima sebatan di Negeri Sembilan pada Mei 2024 apabila merogol anak kandungnya sejak usia mangsa 12 tahun sehingga melahirkan anak.

Pada 2023, seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 702 tahun dan 234 sebatan atas 19 pertuduhan merogol dan 11 tuduhan amang seksual terhadap dua anak kandungnya di Johor.

Setiap kali membaca berita sedemikian, pasti timbul persoalan dalam fikiran masyarakat termasuklah penulis sendiri.

Bagaimana seorang bapa yang sepatutnya menjadi pelindung boleh bertukar menjadi individu yang paling ditakuti oleh anak sendiri?

Hakikatnya, apabila manusia gagal mengawal nafsu dan hilang pertimbangan, mereka boleh melakukan perkara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran orang yang waras.

Sebab itulah agama sentiasa mengajar bahawa amanah terhadap keluarga bukan perkara yang boleh dipandang ringan.

Anak bukan sekadar darah daging, sebaliknya amanah yang perlu dijaga, dididik dan dilindungi sehingga dewasa.

Seorang bapa mungkin tidak mampu memberikan kemewahan, tetapi setiap bapa mempunyai tanggungjawab untuk memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang selamat, tenang dan penuh kasih sayang.

Rumah pula sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk seorang anak pulang.

Apabila rumah sudah tidak lagi memberikan rasa selamat, maka hilanglah fungsi sebenar sebuah keluarga.

Tiada anak yang patut membesar dalam ketakutan di rumah sendiri dan tiada ibu bapa yang bertanggungjawab sanggup membiarkan perkara seperti ini berlaku di depan mata mereka.

Justeru, kepekaan, pendidikan, pengawasan dan tindakan awal merupakan benteng terbaik bagi memastikan rumah kekal menjadi syurga buat anak-anak, bukannya neraka yang menyimpan seribu penderitaan.