Candat sotong malas, tapi hasil bahagi sama rata

Iklan
Musim mencandat sotong masih rancak di Pantai Timur.

MUSIM mencandat sotong masih rancak di Pantai Timur. Bila bot mula berlabuh di tengah laut, lampu dinyalakan dan candat mula dihulur ke dasar, inilah waktu yang ditunggu-tunggu kaki pancing.

Namun, ada satu 'spesies' lebih menarik perhatian Merak Jalanan bukan sotong, tetapi manusia yang naik bot dengan semangat berkobar-kobar, akhirnya terlentang lena di dek.

Iklan
Iklan

Mula-mula bukan main lagi. Ada yang siap beli peralatan mahal, bergambar dengan jaket keselamatan, malah berjanji mahu jadi 'raja candat' malam itu.

Tetapi baru sejam bot beralun, mulalah episod sebenar. Ada mabuk laut sampai pucat lesi, ada mengantuk tidak ingat dunia dan ada juga yang sekadar malas lalu memilih untuk berbaring sambil berselimut.

Iklan

Apa menariknya, apabila tong sotong sudah mula penuh hasil tangan mereka yang gigih mencandat tanpa henti, golongan tidur tadi perlahan-lahan bangun. Mata masih mamai, tetapi mulut sudah ringan bertanya: “Banyak dapat?"

Di sinilah Merak Jalanan tersenyum sinis. Dalam banyak keadaan, semangat kebersamaan penting. Jika sejak awal semua sepakat hasil dibahagi sama rata, itu persetujuan bersama.

Iklan

Namun, jangan pula konsep berkongsi dijadikan alasan untuk menumpang hasil usaha orang lain tanpa rasa segan.

Hakikatnya, situasi ini bukan sekadar berlaku ketika mencandat sotong. Dalam kehidupan juga sama. Ada bertungkus-lumus bekerja, berkorban masa dan tenaga. Ada pula hanya tunggu di belakang, tetapi mahu habuan setara.

Rezeki memang milik ALLAH, tetapi usaha tetap tuntutan. Kalau mahu hasil 'gempak', jangan sekadar pandai pejam mata atas bot.

Sesekali, hulurlah juga candat ke laut. Kalau asyik tidur, jangan terkejut jika yang naik bukan sotong, tetapi rasa malu sendiri.