Khemah usang tambah derita penduduk Gaza

Iklan
Musim panas dijangka memburukkan lagi keadaan di 'bandar khemah' seluruh wilayah tersebut.

GENTING GAZA -Di seluruh Genting Gaza, kira-kira 170,000 isi rumah, bersamaan hampir sejuta penduduk kini tinggal di dalam khemah usang.

Selain itu, 5,000 isi rumah terpaksa tidur di kawasan terbuka manakala 52,000 isi rumah tinggal di pusat perlindungan yang sesak.

Iklan
Iklan

Pada bulan ini sahaja, kira-kira 850,000 penduduk masih tidak mempunyai keperluan perlindungan kecemasan seperti kanvas plastik, papan lapis dan tali.

Angka tersebut menggambarkan krisis perlindungan yang berpunca bukan daripada bencana alam, tetapi akibat kemusnahan, perpindahan berulang kali dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan.

Iklan

Suhu ekstrem ketika musim panas dijangka memburukkan lagi keadaan di 'bandar khemah' seluruh wilayah tersebut dengan suhu mencecah lebih 35 darjah Celsius.

Ketiadaan kemudahan asas dan sistem sanitasi yang baik meningkatkan risiko penularan penyakit berjangkit dalam kalangan keluarga.

Iklan

Kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik berdepan risiko lebih tinggi mengalami strok haba, dehidrasi, masalah pernafasan dan penyakit.

Perang ganas dilancarkan Israel lebih dua tahun lalu telah menyebabkan kira-kira 76.6 peratus rumah musnah atau separa rosak hingga memaksa kebanyakan keluarga berpindah-randah tanpa hala tuju malah ada yang mengambil risiko membina khemah sementara di atas tapak runtuhan.

"Saya tidak sanggup berada di dalam khemah dari pukul 8 pagi hingga 7 malam kerana dihurung serangga perosak. Bahang panas yang melampau turut menyebabkan wajah isteri dan anak-anak saya mengalami kesan seperti melecur,” kata seorang penghuni di 'bandar khemah' di Deir al-Balah.

Ketika ini, kebanyakan keluarga memerlukan khemah lebih selesa dengan pengudaraan yang baik bagi mengurangkan kesan cuaca panas melampau. - Agensi