KARANGANYAR - Konvoi untuk meraikan pengesahan ahli baharu sebuah perguruan silat di Kabupaten Karanganyar, Jawa Tengah di Indonesia berakhir dengan tragedi yang menimpa orang lain.
Seorang pesakit yang berada dalam keadaan kritikal meninggal dunia selepas ambulans yang membawanya terhalang di laluan utama Solo–Tawangmangu disebabkan perarakan tersebut pada malam Sabtu lalu.
Jalan tersebut dibanjiri sekumpulan individu yang memakai pakaian serba hitam.
Di tengah kesesakan itu, sebuah ambulans yang membawa Hadi Sukat, 60, penduduk Karangpandan cuba menuju ke Pusat Kesihatan (Puskesmas) Karangpandan.
Sejurus tiba di puskesmas, pesakit disahkan sudah meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan.
Susulan insiden itu, keluarga mangsa meluahkan rasa kecewa kerana nyawa Hadi mungkin sempat diselamatkan jika laluan ambulans itu tidak dihalang.
"Saya berharap kejadian serupa tidak berulang. Mereka sepatutnya memberi ruang kepada kenderaan lain terutamanya kes kecemasan," kata anak perempuan pesakit, Dwi Purnamasari.
Jenazah Hadi selamat dikebumikan di TPU Nongko 2, Dusun Gedangan, Desa Karangpandan, Kecamatan Karangpandan, Kabupaten Karanganyar. - Agensi