Pemandu e-hailing didakwa pukul bekas isteri dalam video tular diberkas

Iklan
Tangkap layar video tular yang dipercayai memaparkan insiden berkenaan.

KAJANG - Seorang lelaki yang didakwa memukul bekas isterinya dalam kejadian yang dirakam dan tular di media sosial berjaya ditahan polis pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.51 petang, 21 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku di kawasan parkir awam di luar Balai Polis Bandar Baru Bangi di sini.

“Susulan laporan diterima, polis turut mengesan satu rakaman video yang tular di platform media sosial Threads yang dipercayai memaparkan insiden berkenaan.

Iklan

"Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an pada jam 6.20 petang, 22 Jun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Naazron berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dipercayai merupakan bekas suami mangsa.

Iklan

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Bandar Baru Bangi pada Selasa bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Afiq Rifdi Mohd Ami di talian 011-29667474 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial satu video memaparkan insiden seorang lelaki didakwa memukul bekas isterinya.