Pelajar jatuh bangunan: Polis kumpul keterangan saksi

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai seorang pelajar Tingkatan 1 sebuah sekolah di daerah Kinta parah selepas dipercayai selepas terjatuh dari bangunan sekolah pada Isnin.

IPOH - Polis sedang mengumpul keterangan daripada beberapa saksi berkaitan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun yang dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di kawasan sebuah sekolah menengah di sini pada Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui talian MERS 999 pada jam 2.49 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepasukan polis bersama petugas perubatan segera digerakkan ke lokasi bagi memberikan bantuan serta menjalankan siasatan awal sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk menjalani rawatan lanjut.

"Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan polis kini meneliti semua aspek yang berkaitan.

Iklan

Mohd Alwi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh serta sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Alwi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.

Iklan

Beliau turut meminta agar privasi mangsa, keluarga dan pihak sekolah dihormati sepanjang tempoh siasatan serta rawatan dijalankan.

Katanya, kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan kebajikan mangsa dan keluarga terus terpelihara.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang pelajar Tingkatan 1 sebuah sekolah di daerah Kinta parah selepas dipercayai selepas terjatuh dari bangunan sekolah berkenaan dalam kejadian pada Isnin.