KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Pejabat Agung Pas sekitar jam 8.30 malam bagi menghadiri mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) di sini.
Turut kelihatan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham.
Difahamkan, mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan keanggotaan parti gabungan PN.
Dalam notis yang ditandatangani Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertarikh 18 Jun 202, sidang berkenaan akan berlangsung berdasarkan Fasal 10 (Pemberitahuan Mesyuarat dan Agenda) dan Fasal 12 (Kekerapan Mesyuarat).
Notis tersebut turut diedarkan kepada Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan empat Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Punithan Paramsiven dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Antara isu yang dijangka dibentangkan dalam mesyuarat tergempar itu adalah mengenai penggunaan nama gabungan itu.
Terdahulu, PN menegaskan sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama gabungan itu tidak boleh diadakan tanpa keizinan pengerusinya.
Menurut Takiyuddin, ketetapan tersebut untuk memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dan Menteri Besar Terengganu diumumkan sebagai Pengerusi PN yang baharu pada 22 Februari lalu.
Pelantikan itu dibuat selepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari, selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.