PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Isnin memerintahkan ketua sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berusia 71 tahun dipenjara sehari dan didenda RM10,000 atas kesalahan menghina mahkamah kerana melanggar perintah injunksi interim dalam satu kes saman fitnah melibatkan adik-beradiknya.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Wong Kian Kheong, Datuk Ismail Brahim dan Datuk Amarjeet Singh turut memerintahkan Zulkifli Ibrahim membayar kos sebanyak RM20,000, dengan denda dan kos itu perlu dijelaskan dalam tempoh sebulan.
Jika gagal membayar denda, Zulkifli perlu menjalani hukuman penjara selama tujuh hari.
Mahkamah membenarkan rayuan difailkan oleh adik-beradik Zulkifli, iaitu Mohd Nasir dan Narimah, serta memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini hanya memberi amaran dan mengenakan kos RM3,000 adalah tidak memadai.
Pengerusi panel, Hakim Wong berkata, perintah injunksi interim bertarikh 29 Ogos 2024 itu perlu dipatuhi kerana ia membabitkan kepentingan awam bagi memelihara kewibawaan mahkamah serta integriti pentadbiran keadilan.
Beliau berkata, Zulkifli memuat naik sembilan hantaran di media sosial walaupun tertakluk kepada perintah injunksi interim yang melarangnya berbuat demikian, dan hanya membersihkan penghinaan itu hari ini.
Katanya, hanya selepas dipersoalkan mahkamah barulah peguam Zulkifli memberi aku janji untuk menurunkan hantaran berkenaan, manakala permohonan maaf juga hanya dibuat hari ini melalui peguamnya.
Mohd Nasir dan Narimah memfailkan saman fitnah terhadap Zulkifli pada 2024 dan memperoleh perintah injunksi interim yang menghalangnya daripada membuat sebarang kenyataan di media sosial berhubung pertikaian harta keluarga sehingga saman fitnah itu diputuskan.
Zulkifli yang juga Pengerusi Persatuan Ehsan Bersatu tidak membantah perintah injunksi berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Nasir dan Narimah kemudian memfailkan permohonan komital selepas mendakwa Zulkifli melanggar perintah itu dengan terus menerbitkan hantaran di media sosial, walaupun tidak menamakan mereka secara khusus.
Pada 21 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi mendapati Zulkifli bersalah kerana menghina mahkamah, namun hanya memberi amaran dan mengenakan kos RM3,000, sekali gus mendorong rayuan difailkan.
Pada prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, Zulkifli diwakili peguam Muhamad Izwan Ishak, manakala Mohd Nasir dan Narimah diwakili peguam H.Y. Chong serta Amitaesh Theva. - Bernama