KENINGAU - Seorang pekerja stor cedera akibat dibelasah beberapa individu selepas menegur salah seorang lelaki mabuk yang bertindak menendang pintu 'shutter' di sebuah premis di sini pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa lelaki berusia 22 tahun mengalami sakit di bahagian badan, lebam di muka dan berdarah pada hidung.
Ketua Polis Daerah Keningau Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa.
"Hasil siasatan mendapati sebelum kejadian, berlaku pertelingkahan antara suspek dengan rakannya sendiri semasa mereka berada di bar dan semasa kejadian, mangsa ketika itu hendak menutup operasi premis.
"Suspek yang dalam keadaan mabuk telah turun dari bar tersebut dan bertindak menendang serta menumbuk pintu shutter kedai. Mangsa kemudian menegur perbuatan lelaki tersebut namun telah dimarahi lalu dipukul oleh tiga individu lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya lagi, rakan mangsa yang menyedari kejadian itu pula bertindak memukul rakan suspek yang tidak sempat melarikan diri.
"Akibat kejadian itu, mangsa sakit di bahagian belakang kepala, belakang badan, berdarah di bahagian hidung dan bengkak di bahagian muka," katanya.
Susulan kejadian itu membawa kepada penahanan dua suspek yang mengaku terlibat dam kes tersebut manakala seorang lagi rakan mereka masih bebas.
"Dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 18 tahun itu ditahan reman selama empat hari bermula Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 324/160 Kanun Keseksaan," katanya.