Pembaharuan penyasaran subsidi diesel: Kerajaan jimat sehingga 2 bilion setahun

Iklan
Amir Hamzah

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menjangkakan penjimatan sehingga RM2 bilion setahun menerusi pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Julai ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penjimatan hasil pengurangan ketirisan itu akan dipulangkan semula kepada rakyat menerusi penurunan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter.

Iklan
Iklan

"Prinsipnya, penyasaran subsidi ini dapat menjimatkan kita sehingga RM2 bilion setahun dan kerana kita ada penjimatan ini, kita akan pulangkan juga kepada rakyat melalui pengurangan harga diesel daripada RM2.15 kepada RM2.10," katanya pada sidang media  Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di Bangunan Perbendaharaan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, mekanisme baharu itu akan menggunakan MyKad seperti pelaksanaan BUDI RON95 bagi memastikan hanya golongan yang layak menerima subsidi kerajaan.

Iklan

"Kita dapat menjamin mereka yang layak, terutama hanya warga Malaysia yang akan mendapat subsidi yang dibuat oleh kerajaan. Ini akan mengurangkan ketirisan yang ada di dalam negara ini," katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan berkenaan turut menyeragamkan mekanisme subsidi diesel di seluruh negara tanpa lagi membezakan kaedah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Iklan

Beliau berkata, konflik di Asia Barat telah menyebabkan lonjakan ketara dalam perbelanjaan subsidi bahan api negara.

Katanya, sebelum konflik itu, tanggungan subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan adalah sekitar RM800 juta sebulan.

"Apabila peperangan di Asia Barat bermula, lonjakan harga minyak telah naik secara mendadak dan subsidi untuk petrol dan diesel telah meningkat ke tahap hampir RM4.7 bilion bagi bulan Mac dan RM4.9 bilion bagi bulan April tahun ini," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan turut merekodkan peningkatan penggunaan diesel daripada sekitar 624 juta liter sebulan kepada hampir 1.2 bilion liter sebulan.

"Kita mengaitkan perbezaan kenaikan ini kepada ketirisan yang berlaku di dalam negara. Satu, ketirisan yang berlaku ialah ketirisan antara sempadan dan keduanya ialah mereka buat 'channel switching' yang sepatutnya membeli diesel tidak bersubsidi tetapi datang ke stesen minyak dan membelinya daripada diesel bersubsidi," katanya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan turut menganggarkan berlaku ketirisan diesel sehingga satu bilion liter setahun di Sabah dan Sarawak.

"Daripada data yang ada, kita anggarkan penggunaan diesel di Sabah dan Sarawak sepatutnya lebih kurang satu bilion liter setahun tetapi pada keadaan yang kita nampak sekarang, penggunaannya hampir dua bilion liter setahun. Ini bermakna kita ada ketirisan sehingga satu bilion liter setahun," katanya.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi untuk rakyat kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai Julai 2026 menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang lebih seragam dan bersasar.

Langkah tersebut sebagai sebahagian daripada usaha memastikan subsidi kerajaan dinikmati rakyat Malaysia yang layak.

Ditanya sama ada harga di bawah mekanisme Budi RON95 dan Budi Diesel akan kekal atau berkemungkinan berubah pada masa hadapan, Amir Hamzah berkata harga bagi kedua-dua inisiatif tersebut tidak ditetapkan secara statik, sebaliknya tertakluk kepada mekanisme penetapan harga sedia ada serta dasar subsidi bersasar kerajaan.

"Seperti semua maklum, untuk Budi RON95 harga ditetapkan RM1.99 itu telah kekal sejak dia dimulakan Insya-ALLAH kita akan terus memegang pada tahap harga itu. Setakat yang kita nampak, tidak nampak lagi harga itu melonjak dengan tinggi yang memaksa kerajaan untuk melihat balik RM1.99 seliter," katanya.

Beliau menjelaskan, pendekatan yang digunakan masih berasaskan prinsip pengurusan fiskal semasa, dengan penetapan harga mengambil kira keadaan pasaran minyak global, kemampuan kewangan kerajaan serta keperluan untuk memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar.

Menyentuh mengenai kesiapsiagaan infrastruktur pula, Amir Hamzah memberi jaminan bahawa pelaksanaan Budi Diesel tidak memerlukan perubahan besar terhadap sistem sedia ada di stesen minyak seluruh negara.

Beliau menjelaskan, semua stesen minyak yang kini digunakan bagi pelaksanaan Budi RON95 akan terus dimanfaatkan kerana ia berasaskan perkakasan yang sama tanpa sebarang penggantian peralatan utama.

“Tak ada apa yang bertukar. Hanya dalam perisian, kita membenarkan pilihan antara diesel atau petrol. Kalau orang itu layak untuk diesel, itu saja yang berubah,” katanya.

Menurut beliau, penyesuaian yang dilakukan hanya melibatkan aspek sistem dan pengesahan kelayakan pengguna, sekali gus memudahkan proses transaksi di pam minyak tanpa menjejaskan operasi sedia ada.