Transaksi Budi Madani bagi pembelian diesel bersubsidi bermula Sabtu ini

Iklan
Amir Hamzah (tengah) pada sidang media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di Bangunan Perbendaharaan, pada Isnin.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Rakyat di Semenanjung Malaysia boleh mula menjalankan transaksi Budi Madani untuk pembelian diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter bermula Sabtu ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu akan diperluaskan ke seluruh negara pada 1 Julai pada kadar RM2.10 seliter bagi rakyat tempatan yang mempunyai lesen serta memiliki kenderaan diesel berdasarkan kriteria kelayakan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemilik kenderaan diesel yang layak akan menerima kuota asas sebanyak 200 liter sebulan tanpa perlu membuat sebarang permohonan.

Menurutnya, kerajaan akan menggunakan data sedia ada daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pangkalan data BUDI Madani bagi mengaktifkan kelayakan secara automatik.

Iklan

Katanya, pemilik kenderaan jenis pikap dan jeep pula boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan menjadikan jumlah keseluruhan sehingga 300 liter.

"Kita faham di dalam tempat-tempat pedalaman kadang-kadang jarak untuk pergerakan mungkin lebih banyak daripada apa yang ada sekarang.

Iklan

"Untuk pemilik kenderaan diesel sahaja, kita memberikan peluang untuk mereka memohon kelayakan 100 liter sebulan lagi, tetapi mereka kena memohon," katanya.

Amir Hamzah berkata, permohonan tambahan itu boleh dibuat menerusi portal Budi Madani atau dengan hadir ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhampiran.

Beliau berkata, hampir 95 peratus pengguna individu menggunakan kurang daripada 300 liter diesel sebulan dan kerajaan berpandangan jumlah yang diperuntukkan adalah mencukupi untuk kegunaan mereka.

Pada masa sama, beliau berkata, mekanisme baharu itu akan menyeragamkan pelaksanaan subsidi diesel di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Harga yang sama, cara yang sama untuk seluruh negara. Ia seragam untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kerajaan menggunakan Budi Diesel MyKad sebagai mekanisme yang sama seperti Budi RON95," katanya.

Seramai 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian akan menikmati diesel bersubsidi pada harga yang ditetapkan melalui penggunaan MyKad di bawah mekanisme BUDI Diesel di semua stesen minyak di Malaysia.