KUALA LUMPUR - Parti Bersama akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Menerusi kenyataan bersama Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada Isnin, pemilihan kerusi berkenaan dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk latar belakang dan kecenderungan pengundi hasil dapatan kaji selidik serta data yang dijalankan sejak enam bulan lalu.
Menurut mereka, faktor lain yang diambil kira ialah sambutan terhadap Bersama berdasarkan keahlian mengikut unit Parlimen dan kecenderungan ahli-ahli di kawasan terbabit.
"Ia turut mengambil kira kemampuan Bersama mengendalikan kempen pilihan raya secara berkesan di kerusi-kerusi berkenaan," kata mereka dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kerusi yang akan ditandingi Bersama ialah N13 Bukit Naning (Bakri), N29 Mahkota (Kluang), N40 Tiram (Tebrau), N41 Puteri Wangsa (Tebrau), N42 Johor Jaya (Pasir Gudang) dan N43 Permas (Pasir Gudang).
Selain itu, N44 Larkin (Johor Bahru), N45 Stulang (Johor Bahru), N46 Perling (Pulai), N47 Kempas (Pulai), N48 Skudai (Iskandar Puteri), N49 Kota Iskandar (Iskandar Puteri), N50 Bukit Permai (Kulai), N51 Bukit Batu (Kulai) serta N52 Senai (Kulai).
Daripada jumlah itu, tujuh kerusi kini disandang UMNO, lima disandang DAP, satu disandang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu lagi disandang Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Rafizi dan Nik Nazmi berkata, calon-calon Bersama akan diumumkan pada Jumaat ini jam 8 malam di Johor Bahru bersempena pelancaran trak kancil parti itu.
Menurut mereka, lokasi pelancaran berkenaan akan diumumkan kemudian.
Dalam pada itu, mereka memaklumkan ahli-ahli Bersama dan orang ramai yang ingin menjadi jentera parti di 15 kerusi terbabit boleh mula mendaftarkan diri menerusi laman sesawang parti.
Jelasnya, sistem ejen pengundian atau Polling Agent dan Counting Agent (PACA) juga telah dibuka untuk pendaftaran.
"Mereka yang ingin menjadi PACA boleh melayari laman sesawang BERSAMA dan klik 'Sertai Kempen'.
"Dari situ, mereka boleh log masuk ke sistem kempen Bersama selepas mendapat OTP dan melalui proses untuk menjadi PACA, termasuk mengemukakan dokumen yang dikehendaki Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta mengikuti latihan," menurut kenyataan itu.
Mereka berkata, sistem kempen bersepadu Bersama akan mula dibuka pada Selasa, 23 Jun 2026, bagi membolehkan ahli-ahli parti dan orang ramai dari seluruh negara memilih kempen pilihan raya yang ingin disertai atau dibantu mengikut tarikh, masa, lokasi dan jenis aktiviti.
Menurut mereka, Bersama berhasrat merintis kempen pilihan raya moden yang tidak memerlukan perbelanjaan besar dengan mengaktifkan seramai mungkin ahli dan orang ramai dari seluruh Malaysia untuk membantu kempen parti itu di 15 kerusi berkenaan secara sukarela.
"Bagi Bersama, PRN Johor 2026 bukan sahaja medan berebut kerusi dan pangkat untuk orang politik.
"Ia adalah peluang untuk merintis budaya politik yang lebih berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat serta masa depan negara dan rakyat," kata mereka.