SHAH ALAM - Malaysia kini berada di persimpangan kritikal yang akan menentukan hala tuju negara sama ada terus terperangkap dalam model pemerintahan autoritarian atau bergerak ke arah sebuah negara demokratik lebih matang dan inklusif.
Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berkata, rakyat perlu membuat pilihan tepat menjelang sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara tahun hadapan kerana keputusan itu bakal menentukan masa depan Malaysia.
"Pilihan tepat dapat membawa Malaysia yang lebih matang berfikir, bersatu padu dan berjaya membawa kemakmuran untuk semua dalam tahun-tahun mendatang ini.
"Kita perlu membuat pilihan, sama ada menerima yang baik atau yang buruk, dan jika kita gagal berbuat demikian, Malaysia yang kita cintai akan menjadi sebuah negara yang hodoh," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut Chin Tong, peristiwa 13 Mei 1969 menjadi titik perubahan besar yang mengakhiri pentadbiran era merdeka dan membuka lembaran baharu dalam landskap politik negara.
Beliau berkata, antara faktor mencetuskan rusuhan ketika itu ialah keresahan kaum dan jurang ekonomi semakin melebar, selain harapan generasi muda terhadap pekerjaan lebih baik, gaji setimpal dan peluang untuk kehidupan lebih terjamin.
Katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein kemudiannya membentuk sistem politik baharu selepas peristiwa tersebut yang bertahan sehingga 2018.
Menurut beliau, Tun Abdul Razak telah menyusun semula pentadbiran negara daripada gabungan Perikatan kepada Barisan Nasional yang didominasi kuasa Melayu, selain memperkenalkan ekonomi campur tangan kerajaan dan dasar luar lebih bebas serta berkecuali.
Beliau berkata, dasar diperkenalkan Tun Abdul Razak bersama Timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman pada ketika itu dilihat sebagai langkah transisi untuk membina semula negara dan menangani kesan tragedi 13 Mei.
Bagaimanapun, katanya, struktur dan pentadbiran autoritarian yang sepatutnya bersifat sementara tidak berakhir walaupun Dasar Ekonomi Baharu (DEB) mencapai tempoh sasaran menjelang 1990.
Chin Tong berkata, dekad 1990-an menyaksikan kemunculan generasi baharu pemimpin Melayu yang lebih yakin dan berwawasan apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Wawasan 2020 serta idea Bangsa Malaysia.
Menurutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula membawa konsep Melayu Baharu dan kemudiannya memperluaskan gagasan tersebut menerusi idea Kebangkitan Asia.
"Anak-anak muda Malaysia ketika itu berasa yakin tentang masa hadapan negara. Generasi kami menghormati kaum-kaum lain dan tidak mudah terperangkap dengan sikap perkauman berbanding generasi sebelumnya," ujarnya.
Bagaimanapun, kata beliau, Krisis Kewangan Asia 1997 telah memusnahkan harapan Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara yang lebih maju dan berpengaruh.
Menurut Chin Tong, pemecatan Anwar pada 1998 turut memburukkan keadaan sehingga menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi negara, manakala kemasukan China ke dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 2001 mengubah landskap ekonomi global sehingga menyebabkan Malaysia semakin terpinggir dalam persaingan perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
Menurutnya, semangat reformasi yang muncul pada penghujung 1990-an terus berkembang apabila Anwar memilih menubuhkan Parti Keadilan Nasional pada 1999 yang kemudiannya berkembang menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Chin Tong berkata, semakin ramai rakyat Malaysia termasuk orang Melayu mula menerima idea politik pelbagai kaum dan demokrasi sebagai alternatif.
Katanya, perubahan besar akhirnya berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 apabila UMNO tumbang susulan kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB yang menjejaskan imej negara di peringkat global.
Beliau berkata, sehingga kini, golongan sistem politik lama masih cuba menghidupkan kembali idea lapuk mereka yang berteraskan pemerintahan autoritarian.
"Menjelang sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan Malaysia tahun hadapan, dan dalam suasana kita perlu menghadapi banyak pilihan raya sekarang, rakyat Malaysia perlu membuat pilihan di antara wawasan 1970 yang telah ditolak dan aspirasi 1998 yang mencetuskan harapan baharu," katanya.