SHAH ALAM – Parti Wawasan Negara (Wawasan) menawarkan pendekatan politik penyelesaian menerusi gagasan Konsensus Nasional Baharu sebagai usaha menangani pelbagai cabaran negara dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan nasional.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, gagasan itu menjadi teras perjuangan parti dalam menyatukan rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membina semula harapan terhadap masa depan negara.
"Konsensus Nasional Baharu bukan sahaja suatu ikhtiar, tetapi merupakan anjakan pemikiran dan pembaharuan nasional ke arah kesepakatan baharu.
"Wawasan beriltizam menjadi jambatan penyatuan untuk kita bersama-sama membina Malaysia yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Wawasan mengumumkan 12 tokoh dilantik sebagai barisan kepimpinan pusatnya dengan Pengasas Gerakan Reset, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilantik sebagai Presiden; bekas menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai Pengerusi dan Timbalan Presiden disandang oleh bekas Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Tan Lek Khang.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin memaklumkan parti itu telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada Sabtu lalu dengan penuh tertib serta mengikut segala lunas perundangan.
Menurutnya, EGM tersebut turut menyaksikan pembentukan Jawatankuasa Pusat parti yang menghimpunkan individu daripada pelbagai latar belakang termasuk pimpinan politik, ahli perniagaan, teknokrat, golongan profesional, tokoh akademik dan aktivis masyarakat.
Tambah beliau, barisan kepimpinan adalah inklusif, malah ia cerminan wajah Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan merupakan suatu manifestasi aspirasi ke arah membina Malaysia menjadi lebih makmur, adil, progresif serta dihormati.
Katanya, gabungan kepelbagaian pengalaman dan kepakaran itu akan menjadi kekuatan baharu kepada Wawasan dalam menggarap idea-idea segar menerusi gerakan Reset demi kepentingan rakyat dan negara.