Selangor semak semula cukai taman tema dalam bangunan - Exco

Iklan
Suee Lim semasa sidang akhbar pada Isnin.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak menolak keperluan untuk menyemak semula kadar cukai hiburan yang dikenakan terhadap taman tema dalam bangunan pusat beli-belah di negeri ini susulan dakwaan berlaku peningkatan ketara terhadap caj lesen sehingga membebankan pengusaha.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, semakan itu kini sedang diteliti secara menyeluruh bagi memastikan struktur caj sedia ada lebih seimbang dengan perkembangan industri hiburan keluarga masa kini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengusaha mendakwa kadar lesen yang sebelum ini hanya RM600 setahun telah meningkat dengan ketara sehingga boleh mencecah lebih RM6,000 setahun bagi sesetengah premis bergantung kepada kategori dan pengkelasan premis terbabit.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu dibangkitkan pengusaha industri melalui Malaysian Association Of Theme Park & Family Attractions (MATFA) yang sebelum ini meminta kerajaan negeri menilai semula struktur caj hiburan bagi taman tema dalam bangunan yang didakwa semakin membebankan.

Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil maklum pandangan industri yang mendakwa kos operasi semakin meningkat khususnya bagi pengusaha taman tema berskala kecil dan sederhana yang beroperasi dalam pusat beli-belah.

Katanya, semakan itu juga mengambil kira perubahan konsep industri hiburan keluarga masa kini yang semakin banyak menggabungkan elemen pendidikan, interaksi sosial dan pembelajaran interaktif berbanding pendekatan lama yang hanya diklasifikasikan sebagai hiburan semata-mata.

Iklan

"Perkara ini sedang kita teliti secara terperinci supaya pengkelasan yang digunakan lebih tepat dengan fungsi sebenar premis, bukan lagi secara pukul rata,” katanya.

Beliau berkata, kajian itu turut penting bagi memastikan sektor pelancongan Selangor kekal kompetitif menjelang Tahun Melawat Selangor 2026, selain tidak membebankan pemain industri yang terlibat secara langsung dalam tarikan pelancong keluarga.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang melihat beberapa pendekatan di negeri lain yang telah mula mengiktiraf konsep edu-entertainment dalam pengkelasan premis hiburan sebagai rujukan bagi penambahbaikan dasar sedia ada.

"Ini masih di peringkat kajian dan perbincangan lanjut bersama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan," tambah beliau.