KOTA BHARU – Kelantan muncul antara negeri terawal melahirkan pengurus masjid bertauliah menerusi Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam usaha memperkasa tadbir urus, pengurusan kewangan dan profesionalisme institusi masjid.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, program yang dilaksanakan dengan kerjasama JPK itu bukan sekadar meningkatkan kompetensi imam dan pegawai masjid malah memberi pengiktirafan kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan kerjaya masa hadapan.
Menurut beliau, pendekatan tersebut selaras dengan hasrat Maik untuk melahirkan modal insan yang bukan sahaja mempunyai ilmu agama, tetapi turut dilengkapi kemahiran pengurusan yang diiktiraf di peringkat kebangsaan.
“Program dilaksanakan Maik ini memberi pendedahan kepada imam dan pegawai masjid tentang cara menguruskan institusi masjid dengan lebih profesional.
“Selain pengurusan kewangan, peserta turut didedahkan kepada aspek tadbir urus, pematuhan dan pengurusan organisasi supaya pentadbiran masjid dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik serta berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Program Murajaah Hafazan Al-Quran Maik Tahun 2025 di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Tengku Mohamad Rizam berkata, kumpulan pertama program tersebut melibatkan seramai 38 peserta yang berjaya menamatkan latihan, terdiri daripada 22 peserta Kursus Pengoperasian Masjid tahap satu dan 16 peserta Kursus Penyelarasan Operasi Masjid tahap dua.
Katanya, seramai 16 lagi peserta dijangka mengikuti latihan tahap tiga dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, beliau berkata, Maik bercadang memperluaskan pelaksanaan program berkenaan secara berfasa memandangkan terdapat lebih 600 masjid di seluruh Kelantan yang memerlukan latihan dan pendedahan seumpamanya.
Menurutnya, kekangan kapasiti latihan menyebabkan pengambilan peserta ketika ini dilakukan secara berperingkat dengan setiap kumpulan melibatkan jumlah peserta yang terhad.
“Memang menjadi objektif utama kita untuk memperluaskan program ini dan memberi pendedahan kepada lebih ramai imam serta pegawai masjid tentang cara menguruskan masjid dengan lebih profesional,” katanya.
Mengulas mengenai tahap pengurusan masjid di Kelantan, Tengku Mohamad Rizam berkata, secara keseluruhannya ia berada pada tahap yang memuaskan, namun masih terdapat ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, katanya, Maik turut melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk latihan, pemantauan, audit dan sistem penarafan masjid bagi memastikan standard pengurusan institusi berkenaan terus dipertingkatkan.