KOTA BHARU – Pengalaman lori pagar yang digunakan sebagai van jenazah rosak di tengah jalan sehingga terpaksa mengusung mayat menggunakan kudrat penduduk menjadi antara kenangan paling sukar dilupakan oleh ahli jawatankuasa Masjid Al-Azim, Salor di sini.
Imam Tua, Zakaria Mat Zin berkata, situasi itu pernah berlaku ketika dalam perjalanan ke tanah perkuburan.
Menurut beliau, sepanjang 28 tahun penduduk di sini terpaksa menggunakan lori pagar yang digunakan untuk mengangkut padi bagi membawa jenazah ke kawasan perkuburan sebelum beralih menggunakan van.
"Kita beli van terpakai menggunakan wang sumbangan penduduk setempat. Tapi van tersebut kerap rosak.
"Di sini ada lebih 2,000 penduduk melibatkan tujuh kampung di mana terdapat tiga tanah perkuburan iaitu Tok Jebok, Jenerij dan Keladang," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan sebuah van jenazah baharu bernilai RM155,000 yang disampaikan oleh Etiqa Takaful dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM).
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim dengan kehadiran Presiden Islamic Aid Malaysia, Zawahir Abdullah.
Menurut Zakaria, sumbangan van jenazah baharu itu amat dinantikan oleh semua penduduk mukim.
"Ini van jenazah pertama yang baharu selepas 28 tahun. Kami rasa sangat terharu kerana sebelum ini telah berusaha beberapa kali dengan pelbagai pihak namun tiada rezeki.
"Dengan izin ALLAH, ia dapat direalisasikan lebih cepat daripada yang kami jangkakan," katanya.
Menurut beliau, dengan adanya van baharu ini, urusan menjadi lebih mudah dan teratur terutama untuk perjalanan ke tanah perkuburan.
"Masjid ini pula sudah berusia hampir 80 tahun sejak dibina pada 1971, jadi kemudahan seperti ini amat bermakna kepada seluruh anak mukim," katanya.
Beliau berharap, van jenazah baharu itu dapat digunakan sebaik mungkin bagi memastikan urusan pengurusan jenazah masyarakat setempat berjalan lancar dan lebih sempurna pada masa hadapan.