IPOH – Pendedahan secara langsung terhadap kehidupan golongan asnaf menerusi program siri Jelajah Prihatin Zakat terbukti memberi impak positif apabila sebahagian pembayar zakat meningkatkan jumlah bayaran mereka hingga tiga hingga empat kali ganda berbanding sebelum ini.
Pengurus Besar Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR), Ahmad Nazim Md Tajuri berkata, program ZAPAR Care Tour (ZACT) yang memasuki tahun kedua penganjuran itu berjaya meningkatkan keyakinan pembayar zakat apabila mereka dapat melihat sendiri bagaimana sumbangan yang diberikan diagihkan kepada penerima yang layak.
Menurutnya, pengalaman menyantuni golongan asnaf dan menyaksikan kaedah bantuan disalurkan memberi kefahaman lebih mendalam kepada peserta mengenai peranan zakat dalam membantu kelangsungan hidup masyarakat.
“Daripada pembayar zakat yang menyertai program ZACT tahun lalu, ada yang meningkatkan bayaran zakat mereka hingga tiga atau empat kali ganda berbanding kebiasaan.
“Mereka mendapat pendedahan secara langsung dan dapat melihat sendiri bagaimana duit zakat diagihkan kepada asnaf di Negeri Perak. Ini memberi impak yang sangat positif kepada ZAPAR dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk),” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian sempena program ZACT 2.1 Masjid Muhibbuddin Shah di sini pada Isnin.
Ahmad Nazim berkata, program itu dianjurkan bagi merapatkan hubungan antara ZAPAR dengan pembayar zakat serta pewakaf selain memberi peluang kepada mereka melihat sendiri hasil sumbangan yang disalurkan.
Katanya, kebanyakan peserta yang dijemput terdiri daripada individu dan organisasi yang berpotensi untuk terus menyumbang zakat serta melaksanakan amalan wakaf bagi projek-projek yang dibangunkan oleh MAIPk.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran ZACT tahun lalu turut menyaksikan MAIPk menerima sumbangan sebidang tanah wakaf yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit.
“Selain menerima tanah wakaf, kita juga mencatatkan peningkatan lebih 30 peratus dalam kalangan pembayar zakat yang menyertai program ZACT pertama tahun lalu.
“Malah hasil hebahan yang dilakukan termasuk dengan bantuan pihak media, ramai pembayar yang sebelum ini tidak menunaikan zakat di Perak mula berbuat demikian selepas mengetahui mengenai bantuan yang disalurkan kepada asnaf,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Nazim berkata, aplikasi MAIPk Bestari terus diperkasakan sebagai platform digital bagi memudahkan urusan zakat, wakaf dan permohonan bantuan.
Katanya, selepas digunakan untuk pembayaran zakat fitrah selama dua tahun, aplikasi itu kini turut membolehkan orang ramai membuat permohonan bantuan secara dalam talian bermula Jun lalu.
“Selain itu, pembayaran wakaf secara berjadual juga telah dilaksanakan melalui MAIPk Bestari oleh pengguna yang telah mendaftarkan maklumat mereka dalam aplikasi tersebut.
“Pada masa depan, kita bercadang memperluaskan penggunaan aplikasi ini supaya semua jenis bayaran zakat termasuk zakat harta dapat dibuat secara terus melalui MAIPk Bestari,” katanya.
Ahmad Nazim turut memaklumkan bahawa ZAPAR telah dilantik sebagai satu-satunya agensi rasmi yang menguruskan kutipan zakat dan wakaf tunai di Perak.
Menurutnya, semua kutipan yang diterima akan diserahkan kepada MAIPk untuk tujuan pembangunan projek wakaf serta pengagihan zakat kepada golongan yang memerlukan di negeri itu.