Bekas juruwang songlap pin Touch ‘n Go pasar raya lebih RM500,000, dipenjara dua tahun

Iklan
Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 29, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah dan 12 AMLA membabitkan nilai keseluruhan melebihi RM500,000. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang bekas juruwang pasar raya menyalahgunakan mesin terminal pin Touch ‘n Go eWallet yang diamanahkan kepadanya akhirnya membawa padah apabila dia dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 29, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah dan 12 pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan nilai keseluruhan melebihi RM500,000.

Iklan
Iklan

Hakim, Norma Ismail menjatuhi tertuduh hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan pecah amanah dan AMLA.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak bermula dari tarikh jatuh hukum.

Iklan

Mengikut dua pertuduhan, wanita itu diamanahkan dengan mesin terminal pin milik sebuah pasar raya dan didapati telah menyalahgunakan mesin tersebut dengan mengeluarkan nilai pin Touch 'n Go eWallet berjumlah RM98,800 untuk ditebus nilai ke akaun Touch 'n Go eWallet milik diri sendiri, antara 7 Januari 2023 hingga 9 Julai 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Wanita itu juga didakwa atas 12 pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM469,400 ke Touch 'n Go eWallet milik tertuduh, ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Kesalahan dibuat dengan menebus nilai pin Touch 'n Go, iaitu tertuduh menggunakan terminal pin yang diamanahkan kepadanya oleh pasar raya terbabit untuk mengeluarkan pin-pin Touch 'n Go eWallet, antara Januari 2023 hingga Ogos 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Akta Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mengikut fakta kes, pengurus pasar raya itu membuat laporan polis berkaitan kes pecah amanah.

Tertuduh yang merupakan juruwang disyaki mengambil sebuah mesin peranti terminal e-pay tanpa kebenaran pasar raya itu.

Hasil semakan rekod e-pay kemudian mendapati tertuduh telah menggunakan mesin peranti terminal tersebut bagi menambah nilai e-wallet Touch ‘n Go sejak Ogos 2022 hingga Julai 2024 untuk kegunaan peribadi.

Semasa prosiding, peguam, Arik Zakri Abdul Kadir yang mewakili Nur Atiqah memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa mahkamah dan semua pihak.

Menurutnya, tertuduh merupakan pesalah kali pertama dan mengambil tanggungjawab untuk mengaku salah.

"Disebabkan kes ini, dia kehilangan pekerjaan selain mengalami kemurungan," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Batrisya Mohd Khusri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan perbuatan tertuduh menyebabkan kerugian kepada syarikat serta dilakukan secara terancang dalam tempoh yang panjang.