GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang sedang mengesan dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar bagi membantu siasatan berkaitan dua kes pembunuhan yang berlaku di negeri ini.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang berkata, individu berkenaan ialah Hein Min Zaw, warga Myanmar yang memegang pasport bernombor MH120232 dan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Ong Wei Hao, 42.
Menurutnya, Hein Min Zaw dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan melibatkan seorang lelaki warga Myanmar yang ditemukan maut di Lorong IKS Juru 5, Simpang Ampat pada 5 April lalu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Hein Min Zaw diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Muazzam Syaaban di talian 017-4825017,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut kenyataan itu, dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 53 tahun yang bekerja di sebuah kilang ditemukan terbaring di tepi jalan dengan kesan tikaman pada bahagian rusuk.
"Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang individu yang dimaklumkan oleh suspek sebelum laporan dibuat kira-kira jam 10.50 malam.
"Hasil siasatan dan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tikaman yang menembusi jantung," ujarnya.
Sementara itu, JSJN Pulau Pinang berkata, polis turut mengesan Ong Wei Hao bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan di dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh pada 9 Oktober tahun lalu.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan lelaki itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Hasryman di talian 011-63319773.
"Dalam kes itu, mangsa yang dikenali sebagai Lee Boon Han, 31 ditemukan dengan kecederaan pada leher, kedua-dua tangan diikat serta kepala disarungkan plastik.
"Polis menerima laporan mengenai penemuan mayat tersebut pada jam 1.46 tengah hari sebelum siasatan di lokasi mengesahkan mangsa ditemui di dalam bagasi yang ditinggalkan di kawasan belakang flat berkenaan.
"Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat sesak nafas," ujarnya lagi.