SHAH ALAM - Kes perkahwinan palsu membabitkan warga asing dan wanita tempatan yang dipercayai bertujuan mendapatkan lesen perniagaan didakwa semakin serius di Selangor.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim berkata, amalan itu bukan perkara baharu kerana dipercayai telah berlaku sejak lebih 10 tahun lalu.
Menurut beliau, terdapat perkahwinan yang dilakukan semata-mata bagi membolehkan warga asing menjalankan perniagaan dan terus berada di negara ini.
"Modus operandi ini antara cabaran yang menyukarkan PBT (pihak berkuasa tempatan) mengambil tindakan kerana lesen perniagaan diperoleh atas nama pasangan yang merupakan warga tempatan," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.
Suee Lim memberitahu, apabila operasi penguatkuasaan dijalankan, individu terbabit sering memberi alasan mereka hanya membantu pasangan menguruskan perniagaan.
"Kita berdepan dilema untuk mengambil tindakan kerana lesen itu sah dan didaftarkan atas nama warga tempatan," jelas beliau.
Beliau berkata, PBT sukar membatalkan lesen perniagaan dalam situasi sedemikian kecuali jika terdapat pelanggaran syarat lesen atau kesalahan lain di bawah undang-undang berkaitan.
Beliau turut mengakui terdapat kebimbangan terhadap pertambahan peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan tanpa kawalan, namun menegaskan tindakan tegas tetap diambil terhadap mereka yang beroperasi tanpa lesen.
"Tidak ada lesen, kita ambil tindakan. Kita sita barang, keluarkan kompaun dan rampas peralatan perniagaan mereka," tegas beliau.
Sehubungan itu, ujar beliau, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Jabatan Imigresen serta agensi berkaitan bagi mencari kaedah terbaik menangani isu itu yang didakwa berlaku di beberapa kawasan tumpuan perindustrian di Selangor.
"Kes ini dikesan berlaku di beberapa kawasan di Selangor terutama di Sungai Rasau dan Seksyen 15 Shah Alam yang menjadi tumpuan peniaga dan peluang perniagaan," tambah beliau.