MUAR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan parti itu akan mencari atau membentuk gabungan politik baharu sekiranya disingkirkan daripada Perikatan Nasional (PN).
Beliau menegaskan Bersatu tidak akan mati dan akan terus bergerak sebagai sebuah parti politik yang mempunyai kekuatan tersendiri meskipun tidak lagi berada dalam gabungan tersebut.
“Jangan perlekeh kami, jangan perbodoh kami, jangan hina kami, jangan main-main dengan kami.
“Kalau keluar PN, kita akan cari gabungan baharu kerana Bersatu tidak akan mati. Sebagai sebuah parti politik, kita akan abadi dan menjadi parti yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bakri pada Ahad.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, Bersatu tidak berhasrat meninggalkan PN kerana parti itu merupakan antara pengasas utama gabungan berkenaan bersama Pas.
Katanya, sebarang keputusan untuk menyingkirkan mana-mana parti komponen daripada PN perlu diputuskan secara konsensus oleh semua parti dalam Majlis Presiden.
“Dia nak singkir dari rumah yang kita bina, wajar tak? Kita yang bina rumah, kita pula disuruh berambus.
“Jangan cuba pijak kami. Kami ada kekuatan, kami ada semangat. Jangan main-main dengan kami,” katanya yang disambut sorakan ahli dan jentera parti.
Muhyiddin turut membangkitkan tindakan PN yang menghentikan perkhidmatan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Setiausaha Agung.
Katanya, tindakan tersebut tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk memperkecilkan peranan dan sumbangan Bersatu dalam gabungan itu.
“Datuk Radzi kena tendang, Datuk Azmin pun kena tendang. Ini apa? Jangan perbodohkan kami, jangan tendang kami.
“Kita akan pertahankan Bersatu sampai bila-bila,” katanya.