KUANTAN - Kira-kira 10,000 peserta berkumpul seawal pagi di Padang MBK 1 di sini bagi memeriahkan sambutan Hari Sarapan Malaysia MILO® 2026 (MILO® Malaysia Breakfast Day 2026), yang berlangsung sempena hujung minggu Hari Bapa.
Siri jelajah yang memasuki hentian keempat itu menekankan kepentingan memulakan hari dengan sarapan berkhasiat di samping mengamalkan gaya hidup aktif, sekali gus mewujudkan momen bermakna untuk keluarga dan komuniti berhubung serta meraikannya bersama-sama.
Dalam mendepani gaya hidup masa kini yang serba pantas dan berpaksikan digital, kebanyakan keluarga berdepan cabaran untuk mengekalkan rutin konsisten seperti mengambil sarapan yang betul serta melakukan aktiviti fizikal secara kerap.
Menyedari hakikat itu, Hari Sarapan Malaysia MILO® 2026 berfungsi sebagai platform komuniti yang menghubungkan institusi kekeluargaan.
Dalam hal ini, golongan bapa sering memainkan peranan penting sebagai suri teladan isi rumah bagi memudahkan kebersamaan keluarga melalui pergerakan, penglibatan luar dan perkongsian tabiat sihat.
Fokus utama acara ini adalah untuk memperkukuh ikatan kekeluargaan melalui penyertaan bapa dan anak-anak secara bergandingan dalam aktiviti yang menggalakkan rutin lebih sihat, mengurangkan amalan kurang bergerak (sedentary), serta mencipta pengalaman bersama yang bermakna sepanjang hujung minggu Hari Bapa.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat, Majlis Bandaraya Kuantan, Haslinda Hassan berkata, amalan harian seperti menikmati sarapan pagi yang sihat dan seimbang mampu memberi impak besar dalam membekalkan tenaga berpanjangan, meningkatkan tumpuan dan mengekalkan kesejahteraan keseluruhan, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
"Hari Bapa menjadi peringatan bermakna bahawa golongan bapa juga memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat gaya hidup sihat dalam keluarga dan masyarakat yang lebih luas," katanya.
Bagi Hisham Ab Rahman, 60, dan Marilyn Yusoff, 57, kehadiran mereka ke program itu cukup istimewa apabila ditemani anak dan cucu yang sanggup datang dari Putrajaya dan Cyberjaya semata-mata untuk meraikan Hari Bapa bersama-sama.
"Sebagai bapa dan datuk, tiada hadiah yang lebih bermakna selain mengumpulkan seluruh keluarga untuk meraikan Hari Bapa, sambil kekal aktif dan mencipta memori merentas empat generasi," katanya.
Marilyn pula berkata, tabiat sarapan pagi yang sihat sentiasa menjadi nilai murni keluarga yang diwarisi turun-temurun.
"Saya membesar dengan meminum MILO® dan kini anak serta cucu saya juga memulakan hari mereka dengan MILO®. Sarapan yang baik pastinya penting untuk memberi tenaga dan fokus yang diperlukan oleh kanak-kanak sepanjang hari.
"Amat menyentuh hati melihat tabiat sihat yang sama diteruskan merentas generasi, dan acara ini memberi peluang sempurna untuk kami meraikannya bersama sebagai sebuah keluarga," katanya.
Acara dimulakan dengan larian santai (fun run) sejauh tiga kilometer yang menyaksikan para bapa dan anak-anak berlari beriringan dalam suasana hujung minggu Hari Bapa yang ceria.
Ia disusuli dengan aktiviti pagi yang dipenuhi zon interaktif, permainan pentas, cabaran kecergasan dan pengalaman mesra keluarga. Kesemua aktiviti itu direka khusus bagi menggalakkan pergerakan, eratan kasih sayang serta perkongsian momen bermakna dalam persekitaran yang menyeronokkan dan inklusif.
Bagi Lee Zhi Yong, 42, anak watan Kuala Lumpur yang kini menetap di Kuantan, dia memilih untuk meraikan Hari Bapa dengan menyertai larian itu bersama bapanya. Penyertaan kali ini merupakan kali ketiga buat keluarga mereka.
"Saya mengajak ayah untuk sertai kerana dengan jadual kami yang sibuk, jarang untuk kami dapat meluangkan masa bersama seperti ini.
"Hari biasa selalunya sibuk, jadi kami cuba menjadikan hujung minggu lebih bermakna dengan bersarapan bersama dan bertanya khabar. Ia membantu kami kekal rapat di sebalik rutin harian," katanya.
Bapanya, Teu Sim Ming, 75, berkata pengalaman itu menjadikan hubungan mereka lebih bermakna.
"Saya mempunyai rutin berjalan kaki sendiri pada waktu pagi, tetapi melakukannya bersama anak saya menjadikannya istimewa.
"Hari Sarapan Malaysia MILO® 2026 ialah inisiatif hebat yang mempromosikan gaya hidup aktif dan mengingatkan kita tentang kepentingan memulakan hari dengan sarapan berkhasiat untuk tenaga berpanjangan dan kesejahteraan," katanya.
Keceriaan acara turut dikongsi golongan muda apabila Afiq Nubianzaki, 21, pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan, hadir bersama sekumpulan rakan universitinya sebagai peserta kali pertama.
"Acara Hari Sarapan Malaysia MILO® 2026 menggalakkan kita memulakan hari dengan betul kerana sarapan adalah hidangan paling penting.
"Kami berharap lebih ramai anak muda seperti kami akan terinspirasi untuk menyedari kepentingan memulakan hari dengan sarapan berkhasiat.
"Ia juga bagus untuk kita saling memberi motivasi bagi mengamalkan gaya hidup aktif. Walau apa jua sarapan yang dinikmati, secawan MILO® pastinya satu kemestian!" katanya.
Selain aktiviti kecergasan, acara berkenaan turut menampilkan program Nestlé for Healthier Kids (N4HK) yang memberikan sentuhan pendidikan bagi mempromosikan tabiat pemakanan yang lebih sihat dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga.
Melalui aktiviti interaktif, peserta digalakkan untuk lebih memahami pemakanan seimbang dan membuat pilihan makanan yang lebih bijak dalam rutin harian mereka.
Sepanjang pagi, pekarangan program diserikan dengan hilai tawa dan tenaga daripada keluarga yang aktif menyertai pelbagai aktiviti seperti stan interaktif, sesi kecergasan dan Zumba, selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
Selepas destinasi di Sabah, Terengganu, Sarawak dan Kuantan, jelajah Hari Sarapan Malaysia MILO® 2026 akan meneruskan perjalanannya ke Kelantan pada 27 Jun 2026 sebelum melabuhkan tirainya melalui acara kemuncak di Putrajaya pada 12 Julai 2026.