Pengundi utamakan isu negeri, setempat dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan

Iklan
Hasil dapatan tinjauan Sinar Harian.

SHAH ALAM - Isu negeri atau setempat menjadi kriteria dan keutamaan yang diambil kira pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor serta Negeri Sembilan.

Dapatan tersebut diperoleh berdasarkan tinjauan selama 24 jam di empat platform digital Sinar Harian setakat Isnin dengan empat pilihan dikemukakan iaitu isu nasional, negeri atau setempat, parti politik serta personaliti calon.

Iklan
Iklan

Menerusi platform Youtube yang paling mendapat sambutan, seramai 390 responden memilih opsyen isu negeri atau setempat iaitu bersamaan 45 peratus, 33 peratus cenderung kepada isu nasional, manakala 11 peratus masing-masing tentang parti politik dan personaliti calon.

Begitu juga tinjauan dapatan di Threads apabila 56 peratus daripada sembilan responden beranggapan sentimen negeri atau setempat lebih penting untuk dibahas berbanding topik lain.

Iklan

Selain itu, hanya 22 peratus memilih untuk mengetengahkan isu nasional manakala 11 peratus cenderung kepada parti politik dan personaliti calon.

Di platform Instagram turut mencatatkan pilihan sama iaitu negeri atau setempat kerana ada yang beranggapan mahukan menteri besar yang boleh mengutamakan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Iklan

Berbeza dengan responden di medium X apabila daripada enam pengundi, 67 peratus mementingkan personaliti calon yang bertanding dalam pilihan raya tidak lama lagi.

Isu negeri atau setempat dan nasional, masing-masing mencatatkan sebanyak 17 peratus manakala tiada satupun memilih opsyen parti politik.

Pada Ahad lalu, Ketua Penyelidik O2 Research Center, Anis Anwar Suhaimi memaklumkan suasana politik menjelang PRN di Johor dan Negeri Sembilan dilihat lebih dipacu oleh isu-isu teknikal, sentimen politik tempatan serta polemik tertentu berbanding gelombang isu nasional yang besar.

Kata beliau, antara isu yang menjadi perhatian adalah persoalan institusi adat, kewajaran pelaksanaan pilihan raya pada waktu tertentu serta hubungan antara parti-parti dalam kerajaan dan pembangkang.

Bagaimanapun jelasnya, kehangatan politik tersebut tidak dirasai secara sama rata oleh semua kelompok pengundi, khususnya pengundi muda dan pengundi atas pagar.