TANAH MERAH - Kegiatan memproses dan menjual air ketum yang dipercayai aktif sejak tiga tahun lalu akhirnya terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah rumah di Jalan Pondok Lama di sini pada Ahad.
Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu, empat lelaki berusia antara 25 hingga 37 tahun ditahan, manakala tiga daripada mereka didapati positif methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Risik Batalion 8 PGA hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pemprosesan air ketum di premis berkenaan.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati empat lelaki berada di hadapan rumah dalam keadaan mencurigakan sebelum seorang daripada mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
"Siasatan kemudian membawa pasukan ke sebuah bilik dalam rumah yang dikunci dan menemukan sejumlah bungkusan berisi daun ketum selain empat biji pil yaba di ruang tamu," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Ujar beliau, pemeriksaan diteruskan di bahagian dapur sebelum menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum termasuk periuk bersaiz besar, tong gas, alat penimbang dan dapur memasak.
Menurutnya, suspek utama turut menunjukkan sebuah tong plastik yang disembunyikan di kawasan semak hadapan rumah yang mengandungi 53 lagi bungkusan air ketum.
"Keseluruhan rampasan melibatkan 58 liter air ketum, 25 kilogram daun ketum, empat biji pil yaba, sebuah motosikal serta pelbagai peralatan memproses air ketum dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM17,930," katanya.
Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati suspek utama mengaku menjalankan kegiatan memproses air ketum di rumah tersebut sejak tiga tahun lalu bagi pasaran sekitar bandar Tanah Merah.
Beliau berkata, bekalan daun ketum dipercayai diperoleh dua kali seminggu daripada seorang lelaki tempatan yang kini sedang dikesan bagi membantu siasatan.
Tambahnya lagi, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama," katanya.