WARSAW - Kebakaran yang tercetus di sebuah kilang pembuatan aerosol di Charnowo, utara Poland pada Ahad masih belum dapat dipadamkan setakat 6.30 petang waktu tempatan, dengan operasi pemadaman terus dijalankan.
Menurut pihak berkuasa tempatan, terdapat risiko berlakunya letupan, lapor Xinhua.
Kebakaran dilaporkan berlaku sejurus sebelum 1 tengah hari waktu tempatan, dengan anggota bomba mengesahkan keseluruhan premis kilang terbabit dijilat api.
Lebih 60 pasukan bomba dan sukarela, membabitkan lebih 200 anggota dikerah ke lokasi bagi mengawal kebakaran.
Polis turut mengarahkan pemindahan pekerja serta penduduk yang berada di kawasan berhampiran kilang berkenaan, manakala kepulan asap hitam tebal dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer.
Majlis Keselamatan Pusat turut mengeluarkan amaran khas berkaitan asap susulan insiden itu.
Menurut saluran televisyen tempatan TVN24, pegawai media Jabatan Bomba Slupsk, Piotr Basarab mengakui keadaan di lokasi adalah mencabar.
"Kami masih dapat mendengar bunyi letupan dari kawasan terjejas dan pada masa sama berdepan risiko tinggi letupan yang berpunca daripada gas terkumpul akibat kebakaran," katanya.
Perkhidmatan kecemasan setakat ini melaporkan tiada kemalangan jiwa, sambil memaklumkan hanya petugas keselamatan berada di dalam bangunan ketika kebakaran bermula.
Punca kebakaran masih dalam siasatan dan operasi pemadaman dijangka berterusan sehingga Isnin. - Bernama