Sektor teknologi Malaysia terus bersinar

Iklan
Petunjuk terkini menunjukkan momentum yang semakin kukuh apabila eksport produk E&E melonjak sebanyak 70.5 peratus pada Mei kepada RM91.6 bilion, sekali gus mewakili 49.8 peratus daripada jumlah eksport negara. Foto hiasan

TATKALA ketidaktentuan ekonomi global terus memuncak akibat peperangan antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran, sektor teknologi Malaysia terus bersinar.

Petunjuk terkini menunjukkan momentum yang semakin kukuh apabila eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) melonjak sebanyak 70.5 peratus pada Mei kepada RM91.6 bilion, sekali gus mewakili 49.8 peratus daripada jumlah eksport negara.

Iklan
Iklan

Pada masa yang sama, Indeks Teknologi Bursa Malaysia meningkat kira-kira 35 peratus sejak awal tahun, menjadikannya indeks berprestasi terbaik di Bursa Malaysia. Prestasi ini jelas mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek sektor berkenaan serta kedudukan Malaysia yang semakin penting dalam rantaian bekalan teknologi global.

Terdapat beberapa faktor utama yang menjelaskan perkembangan positif ini. Pertama, permintaan global terhadap semikonduktor terus meningkat sejajar dengan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan (cloud computing) dan pusat data (data centres).

Iklan

Malaysia, sebagai antara hab utama pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip semikonduktor dunia, menerima manfaat secara langsung daripada gelombang pelaburan teknologi tersebut.

Bagi sektor pusat data pula, Malaysia merupakan penerima pelaburan kesembilan terbesar di dunia berdasarkan data rasmi United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) pada tahun 2025.

Iklan

Kedua, peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor teknologi turut menyokong pertumbuhan industri. Syarikat teknologi antarabangsa terus memperluaskan operasi mereka di Malaysia, khususnya di Pulau Pinang, Kedah dan Johor.

Baru-baru ini, syarikat pengeluar papan litar dari Austria, AT&S, mengumumkan pelaburan sehingga €2 bilion bagi mengembangkan operasinya di Kulim untuk memenuhi permintaan berkaitan AI.

Ketiga, ketegangan geopolitik dan usaha mempelbagaikan rantaian bekalan global telah meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Banyak syarikat multinasional kini mengamalkan strategi China Plus One bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu lokasi pengeluaran. Malaysia mendapat manfaat daripada trend ini berikutan infrastruktur yang matang, tenaga kerja berkemahiran serta ekosistem semikonduktor yang telah lama terbentuk.

Selain itu, sentimen pelabur turut didorong oleh jangkaan bahawa kitaran pertumbuhan industri semikonduktor global masih berada dalam fasa pengembangan.

Permintaan terhadap cip berprestasi tinggi yang digunakan dalam AI, automasi industri dan teknologi kenderaan pintar dijangka terus berkembang dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Bagi tempoh enam bulan akan datang, prospek sektor teknologi Malaysia dijangka kekal positif. Permintaan terhadap produk semikonduktor dan komponen elektronik dijangka terus kukuh, disokong oleh pelaburan berterusan dalam AI dan pusat data di seluruh dunia.

Prestasi eksport E&E berkemungkinan kekal tinggi walaupun kadar pertumbuhannya mungkin menjadi lebih sederhana selepas lonjakan luar biasa pada separuh pertama tahun ini. Berdasarkan unjuran terkini World Semiconductor Trade Statistics (WSTS), jualan sektor semikonduktor dijangka meningkat dengan ketara sebanyak 89.9 peratus pada tahun 2026. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding unjuran pada Disember lalu, iaitu 26.3 peratus.

Bagaimanapun, beberapa risiko perlu diberi perhatian. Antaranya ialah ketegangan geopolitik di Asia Barat, dasar perdagangan AS yang lebih proteksionis serta kemungkinan pengenaan tarif baharu terhadap produk teknologi. Sekiranya risiko-risiko ini menjadi lebih ketara, ia boleh menjejaskan sentimen pelaburan dan aliran perdagangan.

Kesimpulannya, sektor teknologi negara berkembang dan kukuh. Dengan permintaan global yang masih memberangsangkan, kemasukan pelaburan baharu serta kedudukan strategik negara dalam rantaian bekalan semikonduktor dunia, sektor ini dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2026.