Perancis di bawah amaran gelombang haba tahap merah

Iklan
Orang awam mengambil kesempatan mandi-manda di Canal St Martin, Paris ekoran cuaca terlalupanas. Foto: AFP.

PARIS - Perancis mengeluarkan amaran gelombang haba tahap merah bagi kira-kira separuh negara tersebut termasuk Paris pada Isnin.

Ia apabila gelombang haba mendorong suhu menghampiri tahap rekod sedia ada.

Iklan
Iklan

Pada Ahad, suhu di bandar Bordeaux di barat daya mencecah 40°C (104°F).

Sebelum ini, pihak berkuasa Perancis melarang pengambilan alkohol di tempat awam semasa Fête de la Musique, iaitu festival muzik kebangsaan tahunan yang menarik jutaan orang awam ke jalanan di seluruh negara.

Iklan

Pejabat Perdana Menteri Sébastien Lecornu berkata, arahan telah diberikan kepada kerajaan dan agensinya supaya tidak menyediakan alkohol dalam mana-mana acara.

"Sekatan terhadap pengambilan alkohol bertujuan mengekalkan perkhidmatan kecemasan dan kesihatan serta membolehkan kakitangan perubatan memberi tumpuan terhadap isu yang lebih penting," katanya.

Iklan

Suhu diramalkan mencapai kemuncak pada Isnin dan pihak berkuasa memberi amaran ia boleh menyamai paras tertinggi dalam sejarah.

Amaran 'red alert' itu meliputi sebahagian besar Perancis barat dan tengah, manakala banyak kawasan lain berada di bawah amaran tahap jingga.

Hampir 850 sekolah dijangka ditutup pada Isnin, manakala 1,500 lagi membenarkan pelajar pulang lebih awal.

Difahamkan, peningkatan suhu didorong oleh pergerakan udara panas dari Gurun Sahara ke arah utara yang seterusnya memerangkap haba di Eropah barat dan tengah.

Pihak berkuasa Itali telah mengeluarkan amaran merah untuk lapan bandar pada Ahad antaranya Bologna, Florence, Milan dan Turin.

Agensi cuaca Sepanyol turut mengeluarkan amaran merah dan jingga di beberapa wilayah serta memberi amaran bahawa suhu boleh mencecah 40 darjah di majoriti kawasan negara tersebut.

Gelombang haba tersebut berlarutan selama beberapa hari dan mengganggu beberapa perkhidmatan kerajaan di Perancis, menyebabkan puluhan perjalanan kereta api terpaksa dibatalkan.

Bagi membantu penduduk Paris dan pelancong menghadapi cuaca panas, pihak berkuasa membuka taman dan kebun di ibu kota itu sepanjang malam.

Fête de la Musique berlangsung selama lebih 40 tahun dan sentiasa diadakan ketika solstis musim panas.

Tahun lalu, kira-kira dua juta orang awam menghadiri acara itu di Paris. - Agensi