BARU-baru ini, tular di media sosial video memaparkan sekumpulan rakyat Malaysia yang bertindak kurang menyenangkan ketika melancong di luar negara.
Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, khususnya berkaitan isu adab dan imej negara.
Dalam video itu, mereka dilihat membuat isyarat menutup hidung yang boleh ditafsirkan sebagai tidak sopan. Selain itu, mereka juga berbual dengan suara yang kuat menggunakan Bahasa Melayu, dengan harapan percakapan mereka tidak difahami masyarakat tempatan.
Walaupun mungkin tindakan itu sekadar gurauan, namun telah mengundang persepsi negatif daripada masyarakat umum. Lebih buruk, kejadian juga turut mendapat liputan negara lain.
Dalam era media sosial hari ini, semua orang mahu tular tanpa memikirkan implikasi jangka panjang. Akhirnya tanpa disedari, keinginan itu mengorbankan nilai adab, budi bahasa dan sensitiviti budaya.
Sebagai rakyat Malaysia, kita bukan sahaja membawa diri apabila berada di luar negara, malah turut membawa nama negara. Sebagai ‘duta kecil’ negara, setiap tindakan, percakapan dan tingkah laku perlu mencerminkan nilai sopan santun, hormat-menghormati serta budaya budi bahasa yang menjadi asas masyarakat Malaysia.
Perbezaan budaya, adat dan sensitiviti di setiap negara wajar dihormati. Seperti ungkapan orang lama, ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak’, ia membawa maksud mudah iaitu kita perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran dan menghormati norma setempat.
Oleh itu, setiap pelancong disarankan sentiasa menjaga tingkah laku dan pertuturan ketika berada di luar negara. Sikap berhemah bukan sahaja mencerminkan keperibadian individu, malah turut membawa imej baik negara.
Kita pastinya tidak mahu orang luar beranggapan yang tidak baik terhadap Malaysia. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kekalkan adab timur di mana jua kita berada. Rugilah negara yang dikenali dengan pelbagai kaum tetapi dicemari hal seperti ini.
Tulisan ini bukan untuk mengkritik, memalukan atau menuding jari kepada sesiapa, sebaliknya kita jadikan sebagai pengajaran dan panduan untuk kita semua.